Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman berkata, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi merungkai kehilangan remaja lembam itu.

"Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (CID) turut berada di sini. Setiap saksi kami panggil, setakat ini 20 individu telah diambil keterangan termasuk ahli keluarga dan pekerja resort," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pantai di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan dan ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar.

Sementara itu, Che Zakaria berkata, polis memperoleh beberapa kesan cap jari di bilik penginapan warga Ireland itu termasuk di tingkap yang didakwa terbuka semasa gadis itu disedari hilang oleh ahli keluarganya.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak boleh mendedahkan secara terperinci mengenai perkara itu kerana ia masih dalam siasatan.

Jelasnya, seramai 214 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terlibat dalam usaha mengesan Nora Anne hari ini namun pencarian dalam jarak enam kilometer radius dari resort gagal menemukan sebarang petunjuk.

"Semalam kami melakukan pencarian sehingga pukul 4 pagi dan percaya gadis itu masih di sini kerana berdasarkan logik dia tidak mampu pergi terlalu jauh disebabkan hutan tebal dan kawasan berbukit," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris ketika ditemui di lokasi kejadian pula berkata, beliau percaya remaja perempuan itu masih hidup kerana resort itu berhampiran sumber air seperti sungai dan jeram. - UTUSAN ONLINE