Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kedua-dua suspek ditahan di Sri Paya, Kelapa Sawit pada pukul 2.30 petang.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan daripada dua mangsa bahawa kenderaan milik mereka musnah dibakar dalam kejadian berasingan.

"Aduan pertama diterima semalam daripada seorang wanita yang mengatakan Perodua Myvi miliknya yang di letak di kediamannya di Jalan Scientex dekat Kelapa Sawit telah terbakar pada pukul 12 tengah malam sebelumnya.

"Aduan kedua pula diterima daripada seorang lelaki yang mengatakan Proton Iswaranya terbakar pada pukul 2.30 pagi hari sama," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Tambah Beng Yeow, siasatan dijalankan bomba terhadap kedua-dua insiden itu mengesyaki wujudnya unsur khianat.

"Berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku melakukan perbuatan itu," tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. - UTUSAN ONLINE