Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Shaharuddin Mohd. Kia berkata, dua peniaga terbabit dikenakan kompaun RM400 setiap seorang dalam operasi bulan lalu yang turut disertai anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Beliau memberitahu, tindakan itu dikenakan mengikut kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan tindakan strategik di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JHEAT manakala di segi penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa KPDNHEP.

"Ia memberi penekanan terhadap pematuhan kepada pemakaian logo halal, maknanya kalau tak dapat kelulusan untuk persijilan halal tapi pakai logo halal, adalah jadi satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Umpamanya kes dua peniaga yang dikompaun ini, hasil siasatan mendapati mereka tidak pernah memohon mendapatkan sijil kelulusan logo halal sedangkan logo itu mereka pamer," katanya.

Shaharuddin menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas program Kesedaran Halal Kepada Penjawat Awam (Diskusi Halal: Isu & Cabaran Industri Halal) di Dewan Auditorium Kompleks Seri Iman di sini hari ini.

Selain Shaharuddin, turut menjadi panel dalam Diskusi Halal itu ialah Penolong Pengarah Kanan Jakim, Muhammad Hawari Hassan manakala Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Shukri Faiz Jusoh bertindak sebagai moderator.

Beliau seterusnya menasihati semua peniaga di negeri ini supaya sentiasa memastikan mendapat kelulusan persijilan logo halal terlebih dahulu daripada pihak berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Sekiranya nak guna logo halal, para peniaga kena pastikan dapat kelulusan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa terutama Jakim dan jabatan agama negeri atau JHEAT," ujarnya. - UTUSAN ONLINE