Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan di sebuah sangkar ikan pada jarak kira-kira 0.5 kilometer dari Timur Pulau Jerejak, di sini kira-kira pukul 10 pagi.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki warga Thailand berumur 20 dan 26 tahun yang bekerja di atas sangkar ikan tersebut tidak mempunyai permit yang sah untuk bekerja di negara ini.

"Mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim negeri untuk siasatan serta tindakan lanjut," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua PATI itu akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Kata beliau, jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Hamizan mengingatkan pengusaha sangkar ikan supaya memohon permit kerja untuk pekerja asing mereka dengan Jabatan Imigresen sebagai pas untuk bekerja di negara ini.

"Maritim Malaysia negeri akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan PATI di perairan Pulau Pinang," katanya.- UTUSAN ONLINE