Penangkapan yang turut melibatkan rampasan dua bot pam pada kira-kira pukul 10.30 pagi itu dibuat dalam Op Gelora Khas sebagai sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk menghapuskan aktiviti penggunaan bom ikan, jenayah rentas sempadan dan penangkapan ikan secara haram serta penyeludupan di Sabah dan Labuan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tumpuan operasi ialah untuk memeriksa bot pam (bot kecil menggunakan enjin pam air), pengangkutan oleh penduduk di pulau-pulau dan bukan warga negara di pulau bebas cukai itu, digunakan untuk aktiviti perikanan.

Beliau berkata, rampasan bot pam tidak berdaftar serta kedua-dua PATI tanpa dokumen itu akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Pajeri berkata, kedua-dua PATI yang berusia 25 dan 35 tahun itu didapati melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka yang ditahan serta bot yang dirampas bernilai RM8,440 itu dibawa ke pangkalan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah di Menumbok untuk tindakan lanjut.

“Kami akan teruskan tindakan untuk menghapus aktiviti haram di perairan Sabah dan Labuan,” kata Pajeri.

Operasi berkenaan diadakan selepas kejadian 5 Julai yang membabitkan kematian seorang jurulatih selaman tempatan dan dua pelancong China akibat kegiatan bom ikan di kawasan menyelam di perairan berhampiran Pulau Kalapuan dan Semporna. - BERNAMA