Kedua-dua suspek itu ditahan sepasukan polis Seberang Perai Utara (SPU) menerusi Op Tapis bersama-sama sebanyak 86.67 gram dadah dipercayai heroin dan 7.78 gram disyaki syabu.

Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai untuk kegunaan sendiri selain dijual di kawasan penagihan dadah di sekitar daerah ini.

Tambah beliau, ujian air kencing kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis MOP serta methamphetamine dan mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B; 39A (1); 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik berterusan secara agresif ke atas pengedar-pengedar dadah di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada polis. - UTUSAN ONLINE