Dalam kejadian semalam, seorang jurujual berusia 24 tahun ditipu sebanyak RM21,300 selepas menerima panggilan daripada individu mendakwa pegawai pos dari Kuantan yang memaklumkan terdapat barangan atas namanya yang cuba dihantar ke Kota Kinabalu ditahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang individu yang mendakwa anggota polis berpangkat Sarjan dari ibu pejabat polis Kuantan.

Katanya, pegawai polis itu memberitahu mangsa yang mana kes tersebut masih dalam siasatan dan memintanya tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan dia merupakan suspek dalam kes tersebut .

Tambahnya, mangsa juga diminta memberikan segala maklumat akaun simpanan miliknya kononnya bagi tujuan siastan dan untuk mengelakkan pembekuan aset.

"Disebabkan terkejut dan terlalu takut dengan maklumat itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pindahan wang melalui kaunter bank dengan mengeluarkan wang miliknya dan dimasukkan ke akaun bank yang diberikan suspek.

“Mangsa melakukan sebanyak tiga transaksi wang ke tiga akaun bank berjumlah RM 21,300 bermula pada 16 hingga 25 Ogos lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa yang berasa curiga dan tertekan kemudiannya menceritakan hal tersebut kepada rakannya sebelum dimaklumkan dia telah menjadi mangsa sindiket Macau Scam dan membuat laporan polis.

Sementara itu, katanya, dalam kejadian berasingan seorang kerani kerugian RM15,099.70 selepas diperdaya individu yang mengaku pegawai bank kononnya dia mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM7,000.

"Dalam kes ini, mangsa telah berbual hampir dua jam melalui telefon dan menyerahkan dua kali nombor TAC yang diterima melalui telefon bimbitnya kepada suspek selain diminta untuk tidak mengakses apa-apa akaun miliknya kerana bimbang mengganggu siasatan," katanya.

Jelas Noorzainy, mangsa yang berasa curiga kemudiannya melakukan semakan akaun bank dan mendapati wangnya sudah tiada sebelum membuat laporan polis.

“Bagi kedua-dua kes ini, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket menerusi telefon.

Katanya, orang ramai diingatkan tidak sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan pemanggil yang tidak dikenali sebaliknya mengubungi polis atau organisasi yang terlibat untuk pengesahan.

Tambah beliau, orang ramai juga tidak sepatutnya mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu yang tidak dikenali. - UTUSAN ONLINE