Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 99 individu yang terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah ditahan.

"Jumlah rampasan memang memberangsangkan tapi kami masih belum berpuas hati dengan apa yang dicapai memandangkan banyak dadah terutama syabu dibawa masuk ke negara ini dengan menggunakan laluan laut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Dua Hala ke-12 dan Mesyuarat Kumpulan Kerja antara JSJN dengan Direktorat IV TP Narkoba Polri Indonesia di Hotel Grand Ion Delemen, di sini, hari ini.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar itu adalah rakan sejawatnya dari Indonesia, Brigadier Jeneral Drs Eko Daniyanto.

Mohd Khalil memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia akan memberi tumpuan dan penekanan kepada kawasan perairan dalam mengekang aktiviti penyeludupan dadah daripada terus berleluasa.

"Dalam masa yang sama, kami juga menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan lain-lain mengikut keperluan," ujarnya.-UTUSAN ONLINE