Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, dua bot bersama 17 nelayan Vietnam berusia 20 hingga 53 tahun itu ditahan pukul 9.30 pagi dan 11.15 pagi Ahad lalu pada kedudukan 145.2 kilometer hingga 147.4 kilometer timur laut Tanjung Mat Amin, Kuala Kemaman.

Beliau memberitahu, selain dua bot yang ditahan itu, sebanyak 2,000 kilogram ikan campur, 2,000 kilogram ikan baja, diesel dengan anggaran 2,000 liter dan peralatan menangkap ikan turut dirampas.

"Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.7 juta, bot serta hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman pukul 2.35 petang semalam. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen dan kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

“Selain itu mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dan juga Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah." katanya kepada Utusan Malaysia di Pejabat Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, Op Naga Barat Siri 1/2019 yang bermula pada 26 April 2019 hingga sekarang telah berjaya membuat 1,637 pemeriksaan dan 96 tangkapan yang merangkumi semua pemeriksaan dan tangkapan pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi itu.

"Jika sabit kesalahan, tekong berkenaan boleh didenda RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun dan awak-awak boleh didenda RM100,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan dilucutkan hak ke atas vesel berkenaan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kesemua nelayan asing itu dikenakan tahanan reman selama 14 hari berakhir 17 September ini.

Muhammad Suffi menarik perhatian, sehingga 31 Ogos lalu, Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia berjaya memungut sebanyak RM8.8 juta hasil daripada denda yang diperintahkan oleh mahkamah dan sebanyak 25 buah bot daripada 96 kes dilucut hak.

Jelasnya lagi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing. - UTUSAN ONLINE