Kesemua tangkapan berusia sembilan hingga 15 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang dalam operasi kira-kira 6 petang.

Ketika ditahan, mereka dilihat menunggang basikal lajak serta melakukan aksi berbahaya di Jalan Impian Makmur menuruni bukit sehingga ke sebuah sekolah di Saujana Impian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pemeriksaan mendapati kebanyakan basikal ditunggang mereka tidak mempunyai spesifikasi sebuah basikal yang selamat untuk ditunggang dan telah diubahsuai.

“Semua penunggang bersama basikal masing-masing kemudian ditahan dan dibawa ke Cawangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut namun kini telah dibebaskan.

“Kesemua basikal dirampas untuk tindakan mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala penunggang basikal pula disaman mengikut Peraturan 42(1)(a) LN166/59 Kaedah-kaedah Lalulintas 1959,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya telah memanggil ibu bapa penunggang basikal terbabit dan diberi penerangan mengenai bahaya basikal lajak serta kesan sekiranya berlaku kemalangan.

Jelasnya, kesemua ibu bapa terbabit bersetuju untuk tidak mengambil semula basikal yang dirampas dan menyerahkan kepada trafik untuk tindakan lanjut.

“Ini adalah operasi pertama kali dilakukan pada tahun ini. Dalam operasi ini, tiada kemalangan dan kecederaan yang berlaku kepada penunggang basikal,” katanya.- UTUSAN ONLINE