Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua koperasi terlibat telah diberi arahan supaya menghentikan operasi perniagaan masing-masing serta-merta buat selama-lamanya sejak awal tahun ini.

Selain itu, kata beliau, seba­nyak 11 koperasi lain turut disiasat manakala lebih 50 koperasi dalam pemantauan termasuk diarahkan menyerahkan dokumen perniagaan masing-masing kepa­da pihak kementerian kerana disyaki terbabit dengan sindiket pinjaman ah long.

Tegasnya, kerajaan tidak ber­kompromi dengan mana-mana koperasi yang menjalankan perniagaan tanpa mematuhi syarat dibenarkan dan menyalahi undang-undang negara.

“Kita sedia maklum akan ke­wujudan sejumlah koperasi yang menawarkan skim pinjaman ti­dak ubah seperti ah long ini.

“Malah lebih serius lagi kementerian turut mengesan ada antara koperasi terlibat ini didalangi sindiket ah long sendiri dan kerajaan memandang serius akan perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Hamzah yang di­iringi Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad menyem­purnakan majlis perasmian sam­butan Hari Koperasi Kebangsaan 2016 peringkat negeri di pekarangan Masjid Daerah Baya Daya, di sini.

Dalam majlis itu, Pengerusi Koperasi Tunas Muda yang juga Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Mansor Musa diumumkan sebagai penerima Anu­gerah Tokoh Koperasi Negeri tahun ini.

Selain itu, tambah Hamzah, kementerian juga telah mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meneliti semua profil dan operasi perniagaan koperasi-koperasi kredit di negara ini bagi memastikan tiada koperasi terlibat terlepas daripada diambil tindakan.

“Kemungkinan akan ada lagi koperasi-koperasi yang bakal di­umumkan penutupannya dalam masa terdekat dan kita tunggu sehingga siasatan dijalankan kementerian selesai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memaklumkan pihak­nya bersama SKM sedang memperhalusi akta berkaitan koperasi sedia ada.

Setakat ini, tambahnya, terdapat hampir 13,000 buah koperasi berdaftar di seluruh negara dan akta sedia ada tidak diluluskan dengan spesifik mengikut saiz perniagaan semua koperasi-ko­perasi terbabit.