susulan penahanan 12 lelaki termasuk dalang utama kumpulan itu.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 47 tahun itu diberkas dalam tangkapan berasingan di daerah ini menerusi operasi khas selama lima hari bermula 7 September lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kumpulan berkenaan dipercayai terlibat dalam jenayah curi motosikal di tiga daerah iaitu Taiping, Kerian dan Kuala Kangsar.

Katanya, pihaknya merekodkan sebanyak 18 kes dipercayai melibatkan kumpulan berkenaan yang diketuai seorang lelaki dikenali Midi.

"Siasatan mendapati, kumpulan berkenaan menyasarkan motosikal yang ditinggalkan di kawasan surau, rumah yang pagarnya tidak berkunci dan ditinggalkan di kawasan sunyi.

"Motosikal yang dicuri itu kemudiannya dileraikan komponennya dan dijual dengan harga antara RM400 hingga RM500," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Menurut Osman, dalam tangkapan tersebut, pihaknya berjaya menjumpai semula lima buah motosikal yang dilaporkan hilang dan pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan yang dianggarkan bernilai RM30,000.

Katanya, siasatan terhadap kesemua suspek mendapati sebahagian besar daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek direman sehingga 14 September ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan.

"Dengan tertangkapnya kumpulan tersebut, kita yakin ramai lagi suspek dan motosikal yang dilaporkan hilang akan ditemui selain meneruskan usaha mengesan ahli lain kumpulan itu," katanya. - UTUSAN ONLINE