Serbuan pada pukul 3 petang di pusat khidmat panggilan syarikat pinjaman berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, JSJK Kontinjen Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, serbuan itu dilakukan susulan aduan daripada seorang lelaki yang mendakwa ditipu sindiket berkenaan yang menawarkan pinjaman menerusi aplikasi WhatsAap.

Katanya, sepanjang berurusan untuk mendapatkan pinjaman, lelaki berusia 23 tahun itu telah membuat beberapa pembayaran termasuk bayaran pemprosesan ke dalam akaun bank syarikat berkenaan.

"Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu setelah dia tidak menerima wang yang kononnya dipinjam selain turut gagal menghubungi wakil syarikat tersebut.

"Susulan laporan polis yang dibuat mangsa ada 14 Ogos lalu, siasatan dan risikan dijalankan sebelum berjaya memberkas 11 individu termasuk empat wanita berusia lingkungan 19 hingga 24 tahun di Kampar," katanya dalam sidang akhbar di IPD Batu Gajah semalam.

Menurut beliau, dalam serbuan itu pihaknya merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba dan dokumen-dokumen yang dipercayai bagi urusan pinjaman wang.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu bergerak aktif sejak empat bulan lalu di sekitar Perak dan Pahang.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menghubungi mangsa yang ingin membuat pinjaman wang dan meminta mereka membuat pembayaran untuk kos insurans, cukai pinjaman dan bayaran pemprosesan lain. Setelah bayaran ini diterima, mereka akan bertindak menyekat talian telefon mangsa.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, sebanyak 90 kes melibatkan penipuan sama di seluruh negara berjaya diselesaikan dengan tiga daripadanya membabitkan kes di Perak," katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman empat hari sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN ONLINE