Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat sekumpulan remaja bermain basikal lajak kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Orang awam itu menyatakan perbuatan kumpulan remaja tersebut yang menunggang basikal lajak membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, berikutan itu, anggota kenderaan peronda (MPV) dengan dibantu anggota trafik Ibu pejabat Polis Daerah Yan dan orang awam pergi ke tempat kejadian dan menahan seramai 10 orang remaja berusia 12 hingga 20 tahun.

“Remaja lain bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis,” ujarnya.

Menurut Shahnaz, mereka yang ditahan didapati datang dari kawasan Yan, Gurun, Sungai Tiang dan Merbok dekat sini.

Tambahnya, kesemua remaja dan basikal lajak itu dibawa ke IPD Yan dan waris setiap remaja terbabit dipanggil sebelum mereka dibebaskan.

“Basikal lajak disita dan hanya akan diserahkan selepas pemilik membawa bersama peralatan asal basikal yang perlu dipasang semula seperti brek depan dan belakang,” katanya. - UTUSAN ONLINE