Malah, kapal nelayan tersebut cuba melanggar bot peronda pihak berkuasa sebelum dikejar kira-kira 20 minit.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi ketika PPM Wilayah 4 sedang melakukan rondaan serta mengesan sebuah kapal disyaki melakukan kegiatan menangkap hasil laut secara haram.

“Pasukan peronda meminta juragan memberhentikan kapal dengan menggunakan siren dan alat pembesar suara sebanyak tiga kali namun enggan berbuat demikian.

“PPM telah mengejar kapal tersebut selama 20 minit sebelum berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut menemukan peralatan menangkap balat dan timun laut dan keseluruhan rampasan bernilai RM815,000” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Acryl berkata, kesemua warga Vietnam itu dibawa ke pangkalan PPM Sandakan bagi disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap hasil laut di perairan Malaysia.

Jelasnya, pada hari sama, PPM Wilayah 4 turut menyerbu kedua sebuah lagi kapal asing di Sandakan, Sabah kira-kira pukul 3.30 petang.

“Kita menahan lima lelaki warga Vietnam dan merampas dua tong berisi balat serta timun laut, tiga peralatan menangkap hasil laut dan sebuah kapal.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM805,000. Kes disiasat oleh Jabatan Perikanan Sandakan di bawah Akta Perikanan 1985,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE