Operasi bermula pukul 11 malam semalam sehingga 6 pagi ini melibatkan enam pegawai dan 42 anggota dengan kerjasama JSPT Perak dan Ipoh.

Pegawai Turus Operasi Lebuhraya Zon Tengah A JSPT Bukit Aman, Asisten Superintenden Nasyrul Ridzuan Ab Razak berkata, kesemua individu yang ditahan berusia dalam lingkungan 19 hingga 27 tahun terdiri daripada penganggur dan pekerja swasta.

“Mereka yang ditahan dikesan memandu secara berbahaya dengan kelajuan di jalan awam.

“Pelbagai jenis motosikal yang kita sita terutamanya jenis Yamaha 150Z, kita kesan melakukan aksi Superman di daerah Ipoh,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, sepanjang operasi tersebut berlangsung, sebanyak 58 saman turut dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Kita sering mendapat aduan daripada orang ramai berkaitan aktiviti samseng jalanan di Ipoh.

“Jadi, kita turun bersama-sama dengan polis trafik Perak dan Ipoh bagi menjalankan operasi, namun tiada pelajar yang ditahan pada kali ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE