Kadar potongan pemutuan ikut kualiti hasil padi – KPKM

Kadar potongan pemutuan ikut kualiti hasil padi – KPKM

LAPORAN Utusan Malaysia 21 September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar potongan pemutuan padi bergantung sepenuhnya kepada kualiti fizikal hasil tuaian ketika jualan dilakukan dan bukannya ditetapkan pada sehingga enam peratus.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, kadar potongan yang dikenakan adalah lebih rendah sekiranya padi yang dihantar berada pada tahap kualiti optimum mengikut standard ditetapkan.

Katanya, namun begitu Seksyen Kawalselia Padi dan Beras (KPB) peringkat negeri telah menggerakkan operasi pemantauan khas pemutuan padi secara berjadual di seluruh negara bermula 14 September bagi memastikan tiada sebarang kekeliruan atau salah laku.

“Tindakan proaktif ini dikuatkuasakan berikutan musim tuaian padi yang kini sedang rancak berlangsung di beberapa buah negeri dan operasi pemantauan ini akan terus diperluaskan ke negeri-negeri lain yang bakal memulakan proses penuaian dalam masa terdekat.

“Langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap kilang mematuhi tatacara pemutuan dengan telus, adil, dan berinte­griti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan merujuk laporan Utusan Malaysia pada 21 September lalu mengenai pesawah yang kini berdepan pula isu peningkatan kadar potongan pemutuan padi yang didakwa sehingga enam peratus.

Dalam pada itu, KPKM berkata, isu pemutuan padi dan pemerkasaan industri beras tempatan tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama berterusan dan komitmen keseluruhan semua pihak dalam ekosistem industri padi dan beras.

Katanya, pihak kementerian juga sentiasa meletakkan kebajikan pesawah sebagai ke­utamaan demi memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.

Katanya, kerajaan meman­dang serius isu pemutuan padi memandangkan pesawah merupakan tulang belakang dalam memastikan agenda ke­terjaminan makanan negara terpelihara.

Jelas kementerian itu lagi, kadar pemutuan yang tinggi tidak hanya menjejaskan pendapatan pesawah malah berpotensi mengganggu keseimbangan ke­seluruhan ekosistem industri padi dan beras negara.

Katanya, bagi memastikan ketelusan proses timbangan, penilaian pemutuan padi adalah berdasarkan kepada tahap kua­liti fizikal padi yang dihantar oleh pesawah ke Pelesen Membeli Padi atau Kilang Padi Komersial.

“KPKM juga ingin memaklumkan bahawa penilaian ini tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya dikira secara adil berdasarkan kualiti sebenar padi seperti tahap kelembapan (wap basah), jumlah padi muda, padi rosak, serta kandungan kotoran (benda­sing),” katanya.

Kementerian itu memaklumkan sejak 2017, pihaknya telah mengeluarkan Kaedah Pemutuan Sebenar Padi berlandaskan Piawaian Spesifikasi dan Penggredan Padi (MS 84: 2017).

“Melalui pemakaian Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh semua kilang padi termasuk BERNAS dan swasta, keseragaman tafsiran dapat dipastikan di seluruh negara bagi melindungi pesawah daripada sebarang ketidakadilan.

“Pemakaian SOP ini juga amat penting untuk memastikan pesawah menerima Subsidi Harga Padi yang tepat berdasarkan kualiti dan hasil sebenar yang bersih, di samping mengelakkan sebarang ketirisan dana awam,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×