PETALING JAYA: Pas perlu mempunyai keyakinan terhadap kekuatan dan kepemimpinan sendiri dalam menentukan hala tuju kerjasama politik termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau bersama UMNO.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, keputusan tersebut perlu dibuat dengan bersandarkan keuntungan politik kepada parti, selain berani menentukan bentuk kepemimpinan yang mahu dibawa pada masa akan datang.
“Kalau boleh menguntungkan Pas, duduklah bersama Bersatu. Begitu juga sebaliknya. Pas perlu ada keyakinan sendiri dan membuat keputusan untuk meyakinkan UMNO supaya memerintah negara secara bersama.
“Kalau dalam UMNO ada sebahagian yang mahu bersama, terima. Kalau dalam Bersatu mahu bersama, perlu juga diterima. Tetapi nakhoda yang hendak membawa (kerjasama) itu mesti jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata, Pas juga perlu memainkan peranan dan mengetuai kepemimpinan sekiranya mahu menerajui kerjasama politik termasuk dengan UMNO.
“Pas kena lead (mengetuai). Kalau UMNO ‘konar-konar’, sekejap mahu dengan Pas sekejap dengan Pakatan Harapan (PH) macam mana hendak jadi ketua? Kalau mahu kepemimpinan bersama dengan Pas, kena firm (tegas) dan bukan berdolak-dalik.
“Kalau tidak firm dan berdolak-dalik, tidak bolehlah,” jelasnya.
Menurut Zaid lagi, sebarang bentuk kerjasama politik perlu berasaskan pendirian jelas serta kesediaan semua pihak untuk menerima kepemimpinan bersama.
Pendekatan itu bagi memastikan kerjasama yang dibentuk bukan sekadar sementara sebaliknya mempunyai hala tuju dan kepemimpinan yang jelas dalam menghadapi landskap politik negara.
Dalam pada itu, Zaid tidak menolak kemungkinan berlakunya penjajaran politik antara Bersatu dan PH terutama ketika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, ia disebabkan perkembangan politik semasa yang membuka ruang kepada kerjasama atau penjajaran baharu antara kedua-dua pihak, bergantung kepada kepentingan dan strategi politik masing-masing menjelang PRU16.
“Lagipun ada pemimpin Bersatu yang disabitkan dengan kes mahkamah dan PH juga memerlukan Bersatu. Jadi itu tidak mustahil,” jelasnya.-UTUSAN.











