Ketepikan sengketa

Ketepikan sengketa

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H Peringkat Negeri Perak di Ipoh, Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raja-raja Me­la­yu bertitah meminta umat Islam di negara ini mengetepikan persengke­taan termasuk perbezaan po­litik sebaliknya menumpukan usaha memper­kukuh perpa­duan dan penya­tuan ummah.

Sempena sambutan Maulidur Rasul 1448H yang berlangsung semalam, umat Islam turut diminta mengukuhkan ukhuwah dan mempamerkan akhlak terpuji sebagai contoh kepada seluruh masyarakat.

Pada masa sama, rakyat tanpa mengira latar belakang digesa memelihara perpaduan dan mengamalkan sikap saling menghormati bagi memastikan kehidupan masyarakat terus harmoni dalam suasana tole­ransi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pe­mimpin, pertubuhan dan ge­rakan yang membawa nama Islam perlu mengurangkan per­sengketaan dan menum­pukan tenaga kepada usaha memper­kukuh dan menggemilangkan identiti ummah.

Titah baginda, usaha memperkasa ummah perlu diberikan keutamaan ketika kesatuan umat Islam berdepan pelbagai cabaran termasuk perbezaan politik, mazhab, bangsa dan ke­pentingan.

Menurut baginda, tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia juga semakin mengatasi semangat persaudaraan sehingga konsep ukhuwah semakin dipinggirkan.

“Pemimpin Islam, badan dan gerakan atas nama Islam sebaik­nya kurang bersengketa dan mi­­nimumkan berpolitik tetapi lebih afdal mengutamakan perhatian, tenaga dan gerakan untuk menyokong dan membantu usaha-usaha yang berpotensi menggemilangkan identiti ummah.

“Amatlah menggalakkan dan sewajarnya kita ber­syukur kerana ketika pemimpin dan kabilah-kabilah politik me­mi­lih untuk bersaing dan bersengketa turut terdapat in­di­vidu dan kumpulan yang me­rintis usaha-usaha positif.

“Menggerakkan dan meng­usahakan kesedaran terhadap pendidikan Islam, ekonomi Islam, kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital dan pengukuhan institusi keluarga. Usaha-usaha positif ini wajib diperluas, diperkukuh dan dijayakan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H Peringkat Negeri Perak di Ipoh, Perak, semalam.

Menurut baginda, identiti ummah kini tidak lagi seragam berikutan umat Islam wujud dalam pelbagai negara, budaya dan sistem politik serta terdedah kepada pelbagai pengaruh perubahan zaman.

Baginda bertitah, walaupun identiti keagamaan masih kuat, tahap penghayatan menunjukkan perbezaan apabila sebahagian umat Islam hanya mewarisi agama melalui kelahiran tanpa pengertian dan penghayatan yang sebenar.

“Meskipun Islam masih menjadi sumber pegangan namun dalam kalangan sebahagian ummah, Islam lebih kelihatan pada simbol dan ritual, sedangkan prinsip dan nilai-nilai asas Islam seperti ama­nah, jujur, adil, akhlak, disiplin, ilmu, malu dan ihsan semakin tidak diterjemahkan atau diamalkan dalam kehidupan,” titah baginda.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pula menyeru umat Islam supaya tampil membawa wajah Islam yang sebenar dengan mengangkat nilai kasih sayang, hikmah dan ihsan ketika dunia terus dihimpit konflik, peperangan serta krisis kemanusiaan.

Baginda bertitah, perkemba­ngan yang berlaku di Pa­lestin dan beberapa wilayah Islam bergolak menjadi peringatan bahawa keamanan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Baginda turut menyeru umat Islam memperkukuh perpaduan, memperbanyakkan doa serta menghulurkan bantuan mengikut kemampuan selain terus menjadi contoh akhlak yang baik kepada seluruh ma­syarakat.

“Beta berharap seluruh rak­yat Negeri Kedah dapat terus memelihara perpaduan serta keamanan yang telah lama menjadi kekuatan Negeri Kedah Darul Aman.

“Perbezaan latar belakang, bangsa dan pegangan tidak seharusnya menjadi jurang pemisah sebaliknya menjadi asas untuk saling memahami dan menghormati.

“Semangat saling membantu dan bertoleransi hendaklah te­rus dipupuk demi kesejahte­raan negeri yang kita cintai ini,” titah baginda pada Majlis Sam­butan Maulidur Rasul Peringkat Nege­ri Kedah 1448H/2026M di Alor Setar, Kedah, semalam.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pula bertitah, pemimpin dan rakyat di Negeri Sembilan hendaklah memperkukuhkan tali persaudaraan serta menyemai budaya saling menghormati antara satu sama lain tanpa me­ngira perbezaan kaum dan agama.

Menurut baginda, sebarang permasalahan wajar diurus de­ngan penuh hikmah dan tole­ransi manakala perpaduan serta keharmonian harus sentiasa didahulukan agar negeri ini terus dilimpahi keamanan dan kemakmuran.

“Beta menegaskan bahawa pegangan terhadap agama dan penghormatan terhadap adat perlu terus diperkukuh kerana kedua-duanya merupakan asas penting dalam membentuk peribadi, akhlak dan peradaban masyarakat. Beta mengingatkan agar Rukun Negara difahami, sentiasa dihayati dan dijadikan pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mengingatkan rakyat negeri itu untuk terus memperkukuh perpaduan, selain menghindari sebarang bentuk permusuhan dan sentiasa me­ngutamakan perkara yang me­nyatukan masyarakat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini