Inap desa sasar catat hasil RM100 juta

Inap desa sasar catat hasil RM100 juta

SAHARIMAN Hamdan (empat dari kiri) bersama pengusaha inap desa Pahang pada program Persijilan Muslim Family Assurance Recognition di Kampungstay Desa Murni di Temerloh, Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Industri inap desa negara menyasarkan hasil mencecah RM100 juta menerusi kehadiran sejuta pelancong domestik dan antarabangsa tahun ini.

Presiden Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia (PPHM), Datuk Sahariman Hamdan berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi promosi lebih agresif sempena Tahun Melawat Malaysia.

Selain itu, ia juga menerusi peningkatan mutu perkhidmatan melalui pelaksanaan Pengiktirafan dan Jaminan Pelancongan serta Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR).

Katanya, ketika ini terdapat 222 kampung inap desa di seluruh negara dengan keah­lian kira-kira 4,600 pengusaha yang menjadi antara penggerak utama pelancongan berasaskan komuniti.

“Sehingga Jun lalu, industri inap desa negara merekodkan kira-kira 400,000 pelancong dengan hasil RM40 juta.

“Ini bermakna kita masih mempunyai tempoh enam bulan untuk meningkatkan jumlah kunjungan kepada sejuta pelancong dan hasil RM100 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Sahariman, MFAR menjadi penanda aras bagi memastikan produk inap desa memenuhi keperluan pelancong muslim selain meningkatkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap produk tempatan.

Katanya, pengiktirafan itu turut memperkukuh standard perkhidmatan menerusi pematuhan aspek pengurusan, kebersihan, layanan, kemudahan dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan kepada pe­n­gun­jung.

“Pelaksanaan MFAR bukan sekadar memberi pengiktirafan kepada pengusaha malah menjadi panduan meningkatkan mutu pengurusan dan perkhidmatan supaya lebih memenuhi kehendak pelancong.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, PPHM memeterai memorandum persefahaman dengan Islamic Tourism Centre (ITC) bagi memperluas pelaksanaan MFAR menerusi latihan kompetensi, pembangunan kapasiti dan pengiktirafan berasaskan piawaian pelancongan serta hospitaliti mesra Muslim,” katanya.

Beliau berkata, MFAR perlu dilihat sebagai nilai tambah kepada pengusaha dalam memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran pelancongan yang semakin kompetitif.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×