Bersatu tidak terikat bentuk jajaran baharu

Bersatu tidak terikat bentuk jajaran baharu

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terikat untuk hanya bekerjasama dengan satu parti politik meskipun masih berada dalam gabu­ngan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu juga terbuka untuk membentuk jajaran baharu dengan mana-mana parti politik selagi kerjasama ber­kenaan membolehkan Bersatu terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya tidak fikir kalau itu boleh mendatangkan masalah yang besar asalkan kami dapat terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semalam, Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ketika ditanya sama ada tindakan ADUN berkenaan bercanggah dengan prinsip Bersatu yang kini bersama PN, Ahmad Faizal berkata, perkara itu bukan urusan dalaman parti lain.

Menurutnya, Bersatu tidak me­nganggap menjadi satu kesa­lahan untuk menyatakan soko­ngan kepada parti lain.

“Bersatu tidak mencampuri hak ataupun tindakan ataupun apa juga keputusan yang hendak dibuat oleh pihak parti lain.

“Kami tidak macam parti lain yang hendak siasat perlembagaan parti kami, hendak tengok apa yang berlaku pada kami. Kami tidak buat kerja jaga tepi kain orang.

“Tetapi kalau mereka seperti Pas hendak ikut langkah kami, kalau itu untuk kebaikan rakyat, kenapa tidak?” katanya

Ahmad Faizal berkata, beliau juga tidak mempunyai masalah sekiranya perbincangan mengenai kerjasama berkenaan dite­ruskan ke negeri lain.

Ini kerana katanya, Bersatu tidak ‘mengikat’ parti itu untuk hanya membentuk kerjasama dengan satu parti.

“Kalau ada lagi perbinca­ngan dengan UMNO saya tidak pasti. Tetapi saya fikir tidak ada masalah kalau siapa pun hendak berbincang dengan sesiapa.

“Hari ini saya lihat semua orang cakap dengan semua orang, akhirnya yang penting ialah Bersatu akan kekal dengan usaha untuk kita melakukan yang terbaik demi rakyat.

“Tetapi saya fikir kalau ada perbincangan, kita boleh perhalusi satu persatu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini