Autonomi penuh kepada BRN syarat selesai konflik Selatan Thai

Autonomi penuh kepada BRN syarat selesai konflik Selatan Thai

PASUKAN keselamatan Thailand melakukan pemeriksaan ketat susulan serangan di Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional (BRN) Melayu Patani tetap de­ngan pendirian untuk menuntut autonomi secara menyeluruh sebagai jalan penyelesaian kon­flik di wilayah Selatan Thailand.

Seorang bekas pemimpin tertingginya berkata, jika terdapat sebarang rundingan dengan kerajaan Thailand selepas ini bertujuan meredakan ketega­ngan di kawasan itu, BRN tetap berpegang kepada pendirian untuk mendapatkan autonomi.

“BRN tetap berpegang kepada pendirian di mana kami menuntut autonomi secara me­nyeluruh, bukan separuh. Jika tuntutan ini tidak diterima, kami akan berbalik kepada perjuangan asal iaitu menuntut kemerdekaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di si­ni semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau pada masa sama menjangkakan, kerajaan Thailand akan membawa konflik yang berlaku di wilayah Selatan Thailand kembali ke meja rundi­ngan.

Menurutnya, perkembangan itu bukan sesuatu yang baharu kerana langkah sama akan diambil setiap kali berlaku pe­ningkatan keganasan di wilayah berkenaan.

“Apabila berlaku pergolakan besar, kerajaan Thailand akan meminta diadakan rundingan, itu adalah perkara yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan siri insiden keganasan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani sejak malam Sabtu lalu.

Serangan merangkumi pe­ngeboman, pembakaran pe­ja­bat dan kenderaan kerajaan, le­tupan menara telekomunika­si, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar selain turut mencederakan orang awam.

Sementara itu, dialog damai antara kerajaan Thailand dan BRN dijangka berlangsung pada November atau Disember ini.

Perkara tersebut disahkan oleh penasihat dan pemantau rundingan bagi pihak kerajaan Thailand, Wan Muhammad Noor Matha ketika dihubungi,

Katanya, perkara itu telah dibincangkan bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul termasuk perkembangan pergolakan terbaharu di tiga wilayah Selatan Thailand.

Sementara itu, sumber ke­selamatan yang rapat dengan proses damai itu berkata, Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG) yang diketuai Thanat Suwannano dijangka bermesyuarat pada Oktober bagi mengkaji dan menilai semula beberapa isu berkaitan rundingan.

Menurutnya, Thailand juga masih menunggu pengumuman kerajaan Malaysia berhubung pelantikan fasilitator baharu bagi menggantikan Datuk Mohd. Rabin Basir yang tamat tempoh perkhidmatan baru-baru ini.

Mengulas pergolakan terbaru, sumber itu berkata, siri serangan berkenaan dipercayai sebagai percubaan pergerakan pemisah menunjukkan kekuatan dan mewujudkan pengaruh di meja rundingan.

Katanya, Thailand juga memerlukan kerjasama Malaysia untuk memperketatkan kawalan sempadan bagi menghalang kumpulan bersenjata melintasi sempadan.

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand mengesahkan tiga individu telah ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki terbabit dalam insiden keganasan yang berlaku dalam tempoh tiga hari sejak Sabtu lalu.

Jurucakap Pusat Operasi Ke­­selamatan Dalam Negeri Wi­layah 4 (ISOC 4) berkata, penahanan itu merupakan per­kembangan terbaharu siasatan pihak berkuasa bagi mengesan individu yang bertanggungja­wab dalam siri serangan terbabit.

Katanya, pihak berkuasa turut menganggarkan antara 200 hingga 250 individu dipercayai terlibat dalam keseluruhan insiden yang berlaku itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini