Anggota APM meninggal dunia dipatuk tedung selar - Utusan Malaysia

Anggota APM meninggal dunia dipatuk tedung selar

ANGGOTA APM melakukan demonstrasi pengendalian ular pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di Dewan Taman Temerloh Jaya sebelum seorang daripada mereka dipatuk ular tedung selar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh yang dipatuk ular tedung selar ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia tersebut semalam meninggal dunia awal pagi ini selepas lebih 14 jam bertarung nyawa.

Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.50 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, mangsa pada mulanya menerima rawatan di Jabatan Kecemasan HoSHAS selepas tidak sedarkan diri susulan kejadian berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa ditempatkan di zon merah dan berada di bawah pemantauan doktor sebelum disahkan meninggal dunia pukul 1.50 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular di Dewan Taman Temerloh Jaya, di sini.

Kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu berlaku ketika APM Daerah Temerloh menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta program.

Selepas dipatuk, mangsa sempat keluar dari dewan untuk mencuci tangan sebelum tiba-tiba pitam dan kemudiannya dikejarkan ke HoSHAS untuk mendapatkan rawatan.

Allahyarham yang masih bujang itu difahamkan mempunyai seorang kakak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini