KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka perundangan khusus bagi mengawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikannya berjalan seiring dengan kepentingan awam dan keselamatan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerangka tersebut kini sedang diusahakan oleh Kementerian Digital sebagai langkah menghadapi perkembangan pesat teknologi AI serta cabaran yang dibawanya.
Beliau berkata, pelbagai isu berkaitan teknologi baharu yang dibincangkan sepanjang persidangan akan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat pembuat dasar bagi memastikan perundangan negara kekal relevan dengan perkembangan semasa.
“Banyak daripada perbincangan mengenai teknologi baharu ini akan kita bawa dan bincangkan sama ada di peringkat Jemaah Menteri atau dalam kalangan ketua setiausaha.
“Ini supaya mana-mana undang-undang sedia ada yang boleh ditambah baik atau undang-undang baharu yang perlu digubal dapat dibawa ke Dewan Rakyat, Insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Kawal
Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di sini hari ini
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan negara mempunyai rangka kerja perundangan yang komprehensif dalam menangani cabaran teknologi baharu, termasuk AI, selain menyokong inovasi secara bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan menjadikan dapatan daripada Persidangan Pengawalseliaan Antarabangsa sebagai rujukan dalam menggubal undang-undang baharu berkaitan AI serta menambah baik kerangka perundangan sedia ada bagi menghadapi cabaran teknologi yang semakin berkembang.
Katanya, pengalaman dan pandangan yang dikongsi menerusi persidangan itu akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri dan ketua-ketua setiausaha sebelum dijadikan asas kepada penggubalan atau pindaan undang-undang berkaitan.
Beliau berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) merupakan antara contoh hasil yang lahir daripada perbincangan dan perkongsian pengalaman melalui forum seperti IRC.
“Beri contoh pengalaman kita dalam perbincangan sebelum ini membolehkan kerajaan melalui beberapa jawatankuasa merangka dan seterusnya membawa ke Dewan Rakyat serta Dewan Negara Akta Keselamatan Dalam Talian.
“Itu salah satu yang terhasil daripada banyak perbincangan termasuk dalam forum seperti IRC,” katanya. – UTUSAN










