Tiga gabungan bertembung

Tiga gabungan bertembung

RAMLAN Harun dalam sidang akhbar selepas penamaan calon PRN Negeri Sembilan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Negeri Sembilan kali ini menyaksikan kelainan apabila tiga gabungan politik utama tampil dengan strategi berbeza bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengubah landskap pertandingan berbanding pilihan raya terdahulu.

Pakatan Harapan (PH) muncul satu-satunya gabungan yang meletakkan calon di kesemua 36 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) hanya bertanding di 25 kerusi selepas mencapai persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) yang mengisi baki 11 kerusi.

Strategi tersebut memastikan PH pasti berdepan sama ada calon BN atau PN di setiap kawasan ditandinginya sekali gus menjadikan pertandingan kali ini lebih terarah kepada dua blok ini.

Dalam perkembangan sama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencuri perhatian apa­bila buat pertama kali menggu­nakan nama serta lambang sendiri dalam pilihan raya.

Walaupun masih merupakan parti komponen PN, tindakan Bersatu meletakkan calon di 24 kerusi DUN menyaksikan mereka akan bertembung de­ngan calon PN di tujuh kawasan, mewujudkan situasi yang menjadi tumpuan sepanjang kempen.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, selain PH, BN, PN dan Bersatu, tiga parti lain turut menyer­tai pertandingan iaitu Barisan Jamaah Islamiah Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Menurut beliau, setiap parti tersebut meletakkan seorang calon, manakala empat lagi calon bertanding sebagai Bebas, menjadikan keseluruhan 103 calon bersaing dalam PRN Ne­geri Sembilan Ke-16.

“Sebanyak 11 kerusi DUN menyaksikan pertandingan dua penjuru, 21 kerusi tiga penjuru, dua kerusi empat penjuru dan dua lagi kerusi menyaksikan pertandingan lima penjuru,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Katanya, tiada kertas pe­na­maan calon ditolak sepanjang proses penamaan calon yang berakhir pukul 10 pagi semalam.

Beliau turut memaklumkan seramai 94 lelaki dan sembilan wanita bertanding pada PRN kali ini.

“Calon termuda berusia 23 tahun iaitu M. Leevineshwaraan daripada Bersatu, manakala calon tertua ialah Abd. Latif A. Tambi, 70, mewakili PH,” katanya.

Ramlan berkata, tempoh ber­kempen bermula sebaik sahaja pengisytiharan calon selesai pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai ini.

Menurut beliau, SPR turut me­nubuhkan 36 Pasukan Pe­nguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh tersebut.

Beliau mengingatkan semua parti dan calon supaya mematuhi undang-undang pilihan raya serta tidak menggunakan bahan kempen yang mengan­dungi unsur hasutan, perkauman atau menyentuh sensitiviti agama sehingga boleh mencetuskan permusuhan.

“SPR berharap semua aktiviti berkempen berlangsung dalam suasana harmoni, tertib dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan demi memastikan proses demokrasi berjalan lancar,” katanya.

Proses penamaan calon PRN Negeri Sembilan di lapan pusat penamaan calon semalam berlangsung lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seramai 2,373 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi me­ngawal keselamatan serta ke­lancaran lalu lintas sepanjang proses berkenaan.

Katanya, setiap pusat pe­namaan calon menerima kehadiran antara 1,000 hingga 2,500 penyokong, dengan Jempol mencatat jumlah paling ramai manakala Kuala Pilah paling sedikit.

“Hasil maklum balas daripada semua ketua polis daerah mendapati keadaan di semua pusat penamaan calon terka­wal dan penyokong mematuhi arahan polis. Tiada laporan polis diterima sepanjang proses berlangsung,” katanya dalam si­dang akhbar di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Beliau turut mengingatkan semua calon supaya berkempen secara berhemah dan mengelakkan ucapan berunsur provokasi serta menyentuh isu 3R membabitkan agama, raja dan kaum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN