Tidak perlu PRU awal

Tidak perlu PRU awal

ANWAR Ibrahim di sidang Dewan rakyat, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal.

Perdana Menteri sebaliknya meminta semua pihak memberi ruang kepada kerajaan pimpinannya menamatkan penggal penuh demi memastikan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara terus terpelihara.

Anwar berkata, rakyat mahu kerajaan menumpukan perhatian kepada pentadbiran negara dan bukannya terus terheret dalam kancah politik serta kempen pilihan raya yang berpanja­ngan.

“Berikan kami masa berdasarkan mandat yang diberikan sehingga pilihan raya tiba. Selepas itu kita boleh bertan­ding habis-habisan. Saya tiada masalah dengan perkara itu,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Da­tuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sama ada pilihan raya mengejut wajar dipertimbangkan susulan ketegangan geo­politik serantau dan perkembangan politik domestik semasa.

Penggal Parlimen semasa bo­leh berlanjutan sehingga Feb­ruari 2028 melainkan dibubarkan lebih awal. Namun spekulasi mengenai kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal semakin hangat berikutan kete­gangan po­litik dalam Kerajaan Perpaduan.

Spekulasi itu semakin memuncak selepas Barisan Nasional (BN) yang merupakan rakan utama dalam kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar, mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lapan kerusi.

Perdana Menteri berkata, rak­yat ketika ini mahukan kestabilan politik selain tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara.

Menurut Anwar, persaingan politik hanya wajar berlaku apabila tiba masa pilihan raya, bukannya sepanjang masa sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pentadbiran negara.

“Tentang mendengar suara rakyat, kita dengar suara rakyat. Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang.

“Rakyat pun mahu jangan kita hanya berpolitik sepanjang masa. Jadi beri dia masa, kita ada mandat, sampai pilihan raya kita bertempur pula.

“Saya tidak ada masalah itu. Cuma jangan masing-masing terlalu yakin. Saya pun tidak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin,” katanya,

Dalam pada itu, Anwar berkata, cadangan penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan di­bincangkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan PTPTN perlu dibincangkan bersama Menteri Pengajian Tinggi yang bertanggungjawab terhadap agensi ber­kenaan.

“Jadi, kita runding dengan baik dan soal PTPTN itu kita bincang dengan Menteri KPT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanya sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan semula cadangan penghapusan pinjaman PTPTN seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.

Isu PTPTN turut dibangkitkan dalam PRN Johor dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa, kerajaan sebelum ini pernah berjanji untuk menghapuskan pinjaman ber­kenaan, namun ia masih belum dilaksanakan sehingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN