Syarikat disokong Muhyiddin dapat projek RM141 juta

Syarikat disokong Muhyiddin dapat projek RM141 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Salah sebuah syarikat yang disokong oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dianugerahkan dengan projek bernilai RM141 juta pada Januari 2022.

Pengarah syarikat, Aliza Abdul Malek yang juga Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis Sdn. Bhd. memaklumkan perkara itu ketika membaca penyataan saksinya hari ini.

Salah satu pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin ialah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik parti Bersatu.

Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika memberi keterangan memberitahu beliau menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri melalui Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin (ketika itu), Datuk Dr. Marzuki Mohamad bersama surat sokongan daripada syarikat-syarikat yang mengandungi minit persetujuan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Penolong Pengurus Cawangan Maybank Kota Kemuning, Alfian Othman, 57, dalam keterangannya memberitahu pada 21 Februari 2022, Nepturis telah membuat transaksi RM1 juta melalui cek untuk dibayar kepada Bersatu.

Terdahulu, Aliza memberitahu dia telah diminta oleh bekas pemilik Nepturis, Lian Tian Chuan atau dikenali sebagai TC Lian untuk membuat lima surat permohonan projek kerajaan iaitu ’Memohon untuk melaksanakan’ bagi projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.

Selain membuat surat bagi Nepturis, saksi pendakwaan ke-13 itu turut membuat surat permohonan untuk empat syarikat lain yang didakwa rakan perniagaan Lian bagi projek sama.

Syarikat-syarikat itu ialah Permata Rebana Sdn. Bhd., Fastcoll Corporation Sdn. Bhd., JM Letrik Sdn.Bhd.dan MZ Hakujaya Sdn. Bhd..

Ujarnya, surat-surat permohonan disediakan olehnya atas arahan Tian Chuan untuk untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat, siapa Perdana Menteri ketika itu, saksi pendakwaan ke-13 itu menjawab: “Tan Sri Muhyiddin”.

Terdahulu, Aliza memberitahu dia pada mulanya bekerja dengan Tian Chuan dalam syarikat MK Construction & Communication Sdn Bhd (MKCC) sebelum diserap masuk ke dalam satu lagi syarikat milik majikannya itu iaitu Metrasys Sdn. Bhd..

Sekitar 2018, Aliza memaklumkan Tian Chuan memintanya dan seorang lagi individu Mohd. Rizman Akum Khan untuk mengambil alih syarikat miliknya iaitu Nepturis.

“Walaupun Tian Chuan tiada nama di dalam syarikat Nepturis Sdn. Bhd. tetapi saya, Rizman dan Tian Chuan masing-masing mengetahui bahawa Lian juga mempunyai pegangan saham sebanyak 30% dalam Nepturis Sdn. Bhd..

“Hal ini kerana segala modal syarikat ini adalah hasil suntikan modal daripada syarikat TC Lian iaitu Metrasys Sdn. Bhd.. Jadi segala pengoperasian dan operasi syarikat saya dan Rizman mesti berbincang dengan TC Lian untuk mendapatkan persetujuan bersama”katanya ketika membaca penyataan saksinya.

Merujuk kepada surat yang dibuat olehya, bagi projek IPD Klang Utara, surat dibuat pada Februari 2021 manakala bagi Projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur disediakan pada 4 Mac 2021.

“Tajuk bagi kedua-dua surat ini diberikan oleh Tian Chuan sendiri. Tian Chuan ada memaklumkan surat tersebut dibuat kepada Perdana Menteri (PM) ketika itu. Setelah surat itu siap disediakan, saya menyerahkan kepada Rizman untuk ditandatangani surat tersebut.

“Selepas menandatangani surat Rizman telah mengembalikan kepada saya. Kemudian saya akan menyerahkan surat tersebut kepada Tian Chuan beserta sampul surat bersaiz A4 untuk tujuan permohonan tersebut.

“Saya mengesahkan saya tidak tahu surat itu diserahkan kepada siapa atau dengan siapa Tian Chuan berurusan bagi menyerahkan surat tersebut. Tian Chuan tidak pernah memberitahu atau menceritakan kepada saya dengan siapa beliau berurusan atau berhubung berkenaan permohonan tersebut,”katanya.

Sementara itu ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad Aliza mengesahkan bahawa kesemua surat yang disediakannya menggunakan jenis tulisan yang berbeza.

Wanita itu bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa ia bertujuan menunjukkan bahawa kesemua surat-surat itu datang dari syarikat berbeza dan tidak mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat antaranya Nepturis dan Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada sebuah entiti yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN