KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan sebanyak RM23.6 juta kerugian akibat penipuan dalam talian atau scammer telah direkodkan di Kelantan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia melibatkan pelbagai taktik termasuk panggilan telefon, pelaburan palsu, penipuan e-dagang dan tawaran kerja sambilan.
“Sebanyak 1,480 kes jenayah komersial direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 berbanding 732 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan sebanyak 748 kes itu turut menyaksikan jumlah kerugian meningkat dengan ketara daripada RM17,037,724.28 kepada RM23,635,990.57,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, situasi itu amat membimbangkan kerana jumlah kes dan nilai kerugian yang dialami mangsa terus meningkat.
Katanya, usaha membanteras jenayah komersial memerlukan tindakan penguatkuasaan yang berterusan selain memperkukuh pendidikan dan kesedaran masyarakat.
“Orang ramai perlu lebih berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan atau peluang pekerjaan mudah menerusi platform dalam talian,” ujarnya.-UTUSAN










