Raja Pemerintah N. Sembilan bukan hanya jawatan adat

Raja Pemerintah N. Sembilan bukan hanya jawatan adat

MOHD ZAINUDDIN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang terdiri daripada Yang Dipertuan Besar, Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin bukan jawatan adat semata-mata.

Sebaliknya, mereka merupakan pemerintah tertinggi negeri yang wujud di bawah Undang-Undang dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sendiri.

Peguam Kanan, Mohd Zainuddin Omar berkata, dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, terdapat pihak-pihak yang berkempen mengaitkan krisis adat dengan menyentuh kedudukan institusi raja pemerintah di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, kedudukan Raja Pemerintah di Negeri Sembilan bukah hanya berstatus adat, tetapi merupakan suatu kuasa berdaulat negeri yang terpelihara dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Malah, kedudukan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya diubah atau dicampuri oleh politik kepartian.

“Ia berbeza dengan kefahaman awam tentang maksud adat dalam kebudayaan dan adat istiadat Melayu, terutamanya berkaitan adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRN Negeri Sembilan supaya tidak memainkan isu raja, kaum dan agama (3R) termasuk berkaitan institusi diraja.

Anwar berkata, walaupun persaingan politik dibenarkan dalam amalan demokrasi, namun ia perlu berlangsung secara berhemah tanpa menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Mohd. Zainuddin berkata, dalam jurisprudens, suatu keadaan, uruf atau amalan setempat, termasuk adat istiadat, apabila ia telah diangkat atau dikanunkan sebagai undang-undang, maka ia bukan lagi menjadi sekadar adat semata-mata.

“Tetapi ia telah menjadi suatu undang-undang yang sah di bawah sistem perundangan negara, mempunyai kuasa undang-undang dan boleh dikuatkuasakan dengan kuasa undang-undang yang penuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN