PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya memacu ekonomi negeri dan menghasilkan polisi yang baik untuk rakyat.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, sepanjang pentadbiran Aminuddin juga tidak timbul isu berkaitan integriti, skandal, manipulasi atau penyelewengan.
Katanya, perkara itu tidak pernah dilaporkan sekali gus menunjukkan ketelusan beliau dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Selain itu, Negeri Sembilan berjaya menghasilkan polisi-polisi yang baik, program-program untuk rakyat serta penyampaian perkhidmatan yang memuaskan.
“Keupayaan Aminuddin sebagai Menteri Besar turut dapat dilihat menerusi kejayaan mengangkat ekonomi negeri berdasarkan beberapa indikator ekonomi termasuk pendapatan kerajaan negeri dan pengagihan peruntukan belanjawan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mazlan, pelbagai program yang dilaksanakan memberi fokus kepada kebajikan rakyat, selain pembangunan infrastruktur serta kemasukan pelaburan yang membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Sembilan.
“Di situ, kita lihat beliau juga berjaya menjadikan Negeri Sembilan muncul antara negeri yang mencatatkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi selain Pulau Pinang dan Selangor serta peluang-peluang untuk menghasilkan pekerjaan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Mengenai kepentingan Melayu dan Islam, Mazlan berkata, kerajaan dipimpin Aminuddin merupakan kerajaan Melayu-Islam yang membela orang Melayu dan menjaga Islam di bawah pentadbirannya.
Katanya, pentadbiran Aminuddin juga tidak menunjukkan wujudnya isu orang Melayu diketepikan atau hak-hak mereka ditarik balik.
“Kita tidak nampak wujud sebarang masalah di Negeri Sembilan dari segi kepentingan Melayu. Kita tidak dengar orang Melayu diketepikan, hak-hak orang Melayu ditarik balik.
“Malah kerajaan Negeri Sembilan di bawah Aminuddin memang memperkasakan kepentingan orang Melayu. Kita boleh lihat menerusi belanjawan negeri dan tidak ada isu orang Melayu diketepikan,” katanya.
Tambah beliau, keadaan sama turut dilihat di negeri lain seperti Pulau Pinang apabila sebelum ini tidak timbul isu orang Melayu kehilangan hak walaupun DAP mentadbir negeri itu sejak 2008.
“Tambahan pula, Negeri Sembilan merupakan negeri Melayu yang mempunyai Raja Melayu sebagai ketua negeri yang menjaga kepentingan orang Melayu di situ,” katanya.
Mazlan berkata, antara contoh yang menunjukkan kerajaan negeri menjaga kepentingan Melayu dan Islam adalah tindakan pentadbiran Aminuddin berkaitan larangan minum arak secara terbuka di pantai yang kini dibantah MCA. – UTUSAN










