KANGAR: Seorang pempengaruh media sosial didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur pada 17 Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Syarifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Iman didakwa telah merogol seorang kanak-kanak berusia 14 tahun 10 bulan pada 17 Jun lalu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di bilik sebuah rumah terletak di Jalan Tiong, Taman Kangar, di sini, pada pukul 3.10 pagi.
Berikutan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan hendaklah dihukum dengan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM13,000 dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang kes tersebut.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Ogos depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pempengaruh media sosial direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol dan merakam gambar pornografi seorang remaja perempuan bawah umur.-UTUSAN










