TAPAH: Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ahmad yang merupakan sebuah sekolah pengajian agama Islam swasta beroperasi secara mandiri iaitu tidak mengharapkan derma dan yuran pengajian semata-mata malah bijak mempelbagaikan sumber pendapatan bagi memastikan kelangsungannya.
Menurut pengasasnya, Ahmad Firdaus Mohd. Mazlan Kushari, 33, idea kepelbagaian sumber ekonomi itu bermula secara tersusun pada 2024 dengan penubuhan koperasi maahad tersebut dengan ahlinya merupakan pelajar, guru dan keluarga mereka.
“Alhamdulillah, sejak 2024 kami telah menjalankan pelbagai projek pertanian, penternakan selain menghasilkan produk hiliran untuk menjana pendapatan secara konsisten.
“Bagi pertanian, kami telah menghasilkan golden melon kualiti premium untuk pasaran ke seluruh Semenanjung Malaysia. Selain itu, tanaman serai sentiasa mendapat permintaan tinggi dan rumput napier untuk ternakan haiwan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Kassim, Tapah Road di sini baru-baru ini.
Katanya, usaha penternakan yang dilakukan bersama guru-guru maahad dan 40 pelajar lain ialah ternakan lembu dan biri-biri yang mendapat permintaan setiap kali Hari Raya Aidiladha serta tempahan akikah.
“Ia membentuk ekosistem yang menyokong antara satu sama lain iaitu hasil jualan untuk kelangsungan operasi tahfiz selain sumber makanan kepada pelajar-pelajar sendiri.
“Kami juga memperkenalkan produk hiliran iaitu sambal bilis garing, roti canai sejuk beku, ais krim dan jus golden melon untuk kepelbagaian produk. Pendapatan kasar koperasi ini hasil semua perniagaan boleh mencecah sehingga lima angka setiap bulan,” katanya.
Keluasan tanah bagi projek tanaman dan ternakan tahfiz ini kira-kira 4.04 hektar.
Ahmad Firdaus berkata, selain menyokong dasar keterjaminan makanan di negeri ini, guru-guru dan pelajar maahad tahfiz turut didedahkan dengan ilmu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkaitan dunia pertanian dan penternakan.
“Kami ingin pelajar-pelajar sebaik sahaja tamat pengajian bukan sekadar menjadi imam, bilal atau guru agama semata-mata tetapi usahawan profesional berpendapatan tinggi yang mampu menyumbang kepada ekonomi negeri.
“Malah ada dalam kalangan pelajar yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan dibiayai sepenuhnya oleh maahad tahfiz supaya mereka dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga pada masa depan,” katanya.
Dia berterima kasih dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan
Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan pelbagai bantuan berbentuk geran peralatan, baja, racun pengawal serangga, anak pokok, selain kursus latihan, konsultansi dan strategi pemasaran.
Selain itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berbentuk geran, anak pokok getah, ternakan lembu dan biri-biri.
Malah, Majlis Daerah Tapah serta Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang membantu tahfiz tersebut berhubung infrastruktur awam seperti kemudahan jalan dan tiang elektrk.
Jelasnya, pihaknya akan mengusahakan tanaman kopi Perak di tanah dengan keluasan kira 0.8 hektar di Tapah Road selain dijadikan kawasan pelancongan agro iaitu sebuah kafe, permainan paintball, kolam memancing dan ternakan ikan air tawar serta memanah untuk menarik pelancong tempatan dan antarabangsa ke Tapah.
Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Batang Padang sebagai Pusat Pengedaran Pertanian ASEAN iaitu Agromakanan Perak – Lembah Makanan Negara dengan antara tumpuan utama ialah pertanian.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship pertama iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan), flagship keempat – Koridor TVET Malaysia dan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat – 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan secara progresif. – UTUSAN










