PETALING JAYA: Keputusan kerajaan untuk menjadikan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) sebagai skim sukarela sememangnya mengundang pelbagai reaksi.
Dalam sebuah negara demokratik, rakyat dan pemimpin politik berhak mengkritik serta mempersoalkan sesuatu dasar kerajaan.
Namun, setiap kritikan juga wajar berpaksikan fakta dan dibuat dengan mengambil kira bagaimana sesuatu skim itu sebenarnya beroperasi.
Kebelakangan ini, timbul pelbagai persoalan mengenai kedudukan caruman Jun 2026, tempoh perlindungan dan hak pekerja yang telah mencarum.
Walaupun persoalan-persoalan ini adalah munasabah, PERKESO telah memberikan penjelasan melalui kenyataan rasmi, Soalan Lazim (FAQ) dan penerangan mengenai mekanisme pelaksanaan skim tersebut. Oleh itu, perbahasan lanjut sewajarnya mengambil kira penjelasan yang telah diberikan agar tidak menimbulkan salah faham mengenai kedudukan sebenar skim ini.
Sebagai contoh, persoalan sama ada caruman Jun hanya memberikan perlindungan untuk bulan Julai atau sehingga penghujung tahun tidak boleh dilihat melalui lensa polisi insurans komersial atau konsep langganan tahunan.
LINDUNG 24 Jam merupakan sebahagian daripada sistem keselamatan sosial yang ditadbir di bawah PERKESO dan beroperasi mengikut mekanisme caruman serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, berbeza daripada mekanisme perlindungan insurans swasta.
Tujuan utama LINDUNG 24 Jam adalah untuk mengiktiraf bahawa risiko kemalangan tidak terhad kepada waktu dan tempat pekerjaan semata-mata. Corak pekerjaan dan mobiliti pekerja hari ini menyebabkan risiko di luar waktu bekerja semakin relevan.
Justeru, skim ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan jaringan keselamatan sosial negara.
Begitu juga dengan persoalan mengenai kedudukan pekerja yang telah mencarum sebelum kerajaan memutuskan skim ini menjadi sukarela.
Kerajaan telah memaklumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia bersama PERKESO akan mengeluarkan garis panduan pelaksanaan bagi memperincikan implikasi keputusan tersebut. Ini termasuk aspek pentadbiran yang berkaitan dengan hak dan pilihan pekerja serta tanggungjawab majikan.
Persoalan mengenai pemulangan caruman juga perlu difahami dalam konteks sebenar fungsi PERKESO. Caruman keselamatan sosial tidak bersifat simpanan individu atau deposit yang boleh dianggap mempunyai ‘baki tidak digunakan’.
Sebaliknya, ia dikumpulkan dalam satu dana bagi membiayai manfaat kepada pencarum yang layak apabila berlaku risiko yang dilindungi.
Oleh itu, andaian bahawa setiap perubahan dasar secara automatik mewujudkan hak untuk menuntut semula caruman perlu dinilai berdasarkan konsep dan kerangka perundangan sistem keselamatan sosial negara.
Apa yang juga penting ialah Skim LINDUNG 24 Jam telah mula memberikan manfaat kepada pencarum sepanjang tempoh pelaksanaannya. PERKESO telah memproses faedah kepada pekerja yang layak apabila berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
Ini membuktikan bahawa skim tersebut telah dilaksanakan dan memberi manfaat sebenar untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan pekerja. Ini juga boleh mengelakkan pencarum daripada menggunakan pendapatan sendiri untuk membiayai perbelanjaan perubatan dan yang berkaitan, secara langsung boleh melindungi keluarga dari kemiskinan.
Keputusan kerajaan untuk menjadikan LINDUNG 24 Jam sebagai skim sukarela memberi ruang kepada pekerja membuat pilihan berdasarkan keperluan dan pertimbangan masing-masing, di samping mengekalkan akses kepada perlindungan bagi mereka yang memilih untuk terus mencarum.
Justeru, adalah penting untuk pekerja memahami manfaat serta skop perlindungan yang disediakan agar setiap keputusan dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan lengkap.
Dalam masa sama, perbahasan mengenai sesuatu dasar awam perlu berlangsung secara matang, berasaskan fakta dan mengambil kira keseluruhan konteks pelaksanaan sesuatu skim. Kritikan yang membina penting untuk memperkukuh dasar, namun ia perlu disandarkan kepada maklumat yang tepat supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan pekerja dan majikan.
Akhirnya, matlamat semua pihak adalah sama, iaitu memastikan kebajikan dan perlindungan pekerja sentiasa terpelihara.
Dalam konteks itu, keputusan yang dibuat oleh pekerja hanya akan benar-benar bermakna apabila disandarkan kepada kefahaman yang jelas mengenai hak, manfaat dan tanggungjawab di bawah skim berkenaan.
Menerusi komunikasi yang jelas dan kefahaman yang tepat, rakyat akan lebih bersedia untuk membuat pilihan yang terbaik demi kesejahteraan diri dan keluarga, selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.
Profesor Emeritus
Datuk Dr. Norma Mansor
Pengarah, Social Wellbeing Research Centre (SWRC),
Universiti Malaya










