KUALA LUMPUR: Kerajaan membazirkan wang sebanyak RM28.79 juta susulan kelewatan penggantian kenderaan yang telah tamat tempoh pajakan.
Keadaan itu menyebabkan kementerian dan agensi terpaksa meneruskan sewaan kenderaan lama dengan kos penyelenggaraan lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelewatan pembekalan kenderaan baharu menyebabkan 5,323 kenderaan terus dipajak melebihi tempoh asal antara 48 hingga 60 bulan.
Beliau berkata, kerajaan terpaksa membayar kos sewaan tetap bulanan penuh selain menanggung kadar penyelenggaraan bulanan yang jauh lebih mahal berbanding penggunaan kenderaan baharu yang mempunyai kos penyelenggaraan tahun pertama lebih rendah.
“Berlakunya pembaziran wang kerajaan berjumlah RM28.79 juta akibat kelewatan penggantian kenderaan yang telah tamat tempoh pajakan.
“Ia disebabkan kenderaan baharu lewat tiba, kementerian dan agensi pengguna terpaksa meneruskan pajakan sewaan lama bagi 5,323 buah kenderaan melebihi tempoh 48 hingga 60 bulan asal.
“Kerajaan terpaksa membayar kos sewaan tetap bulanan penuh beserta kadar kos penyelenggaraan bulanan (repairs and maintenance) yang jauh lebih mahal berbanding jika kenderaan digantikan dengan kenderaan baharu yang mempunyai kos penyelenggaraan tahun pertama yang jauh lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Parlimen semalam bagi menjelaskan hasil siasatan PAC menerusi prosiding Pembentangan Penyata PAC Berhubung Pengurusan Kenderaan Kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi Kementerian Kewangan.-UTUSAN.










