TEMERLOH: Sisa habuk kayu yang selama ini dianggap bahan buangan kini bertukar menjadi ‘emas hitam’ apabila diproses menjadi arang mampat berkualiti premium sehingga menembusi pasaran negara Teluk dan antarabangsa.
Di kilang Angry Kong Charcoal Trading, habuk kayu daripada kilang papan sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan diproses menjadi arang mampat yang menjadi pilihan restoran, pengusaha barbeku dan industri makanan di Arab Saudi, Australia serta Jepun.
Pengarah syarikat, Emily Lim Loy Yee, 28, yang mengambil alih perusahaan keluarga pada 2023, mengakui keputusan meninggalkan dunia muzik bukan mudah namun dia melihat potensi besar dalam industri kitar semula.
“Saya bermula daripada kosong, belajar sendiri cara menghasilkan arang, mengurus pekerja dan mencari pasaran. Kini saya yakin industri ini ada masa depan cerah kerana bekalan habuk kayu sentiasa ada dan permintaan semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di kilang miliknya di Mentakab, di sini.
Kilang yang diasaskan bapanya pada 1998 kini beroperasi dengan 37 relau pembakaran, menghasilkan sekitar 200 tan metrik arang sebulan dengan kapasiti maksimum 230 tan metrik bergantung kepada bekalan bahan mentah.
Loy Yee berkata, proses penghasilan arang mengambil masa tujuh hari melalui pembakaran dalam relau pada suhu antara 650 hingga 750 darjah celsius dengan kawalan oksigen minimum.
“Habuk kayu yang dianggap sampah sebenarnya bernilai tinggi apabila diproses. Arang mampat ini menghasilkan kurang asap, haba tinggi dan mampu membakar sehingga lapan jam. sebab itu ia digelar ‘emas hitam’,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran syarikat itu, Wee Qing Wong, 28, berkata, produk arang dijual dalam pelbagai saiz pembungkusan antara dua hingga 20 kilogram, selain menawarkan perkhidmatan pengeluaran peralatan asal kepada pelanggan yang mahu menggunakan jenama sendiri.
Katanya, harga kilang sekitar RM2.80 sekilogram manakala harga pasaran mencecah RM4 sekilogram.
“Kami mahu buktikan bahan buangan boleh menjadi produk bernilai tinggi jika diproses dengan teknologi dan pengurusan betul. Ini bukan sekadar perniagaan keluarga tetapi usaha mengubah sisa industri menjadi produk yang memberi nilai ekonomi serta manfaat kepada alam sekitar,” katanya. – UTUSAN







