Wanita kuasai sektor awam

Wanita kuasai sektor awam

FAKTOR keyakinan diri turut menjadi antara penghalang yang menyebabkan sebahagian wanita kurang berani merebut peluang untuk mengisi jawatan strategik.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan wanita membentuk majoriti dalam sektor perkhidmatan awam negara ketika ini apabila mereka mewakili 59 peratus atau meliputi 765,000 daripada keseluruhan kira-kira 1.3 juta penjawat awam.

Perkembangan itu sekali gus membuktikan peranan wanita yang semakin penting dalam pentadbiran dan pembangunan negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan­ Sri Shamsul Azri Abu Bakar ber­kata, jumlah itu juga adalah se­lari dengan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga buruh negara yang menunjukkan trend positif sejam empat dekad lalu.

“Pada masa ini jumlah penjawat awam wanita dalam per­­khidmatan awam adalah se­ra­­mai 765,000 orang atau 59 pe­ra­tus. Ini bermaksud penja­wat­­ awam wanita melebihi penjawat awam lelaki.

“Daripada 45.7 peratus pada 1982, kadar penyertaan tenaga buruh wanita juga meningkat kepada 56.2 peratus pada 2023 dan kita menyasarkan kadar itu mencapai 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wa­nita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Ke-44 di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Puspa­nita, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Shamsul Azri sementara itu berkata, golongan wanita bukan sahaja menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara malah merupakan rakan strategik dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Oleh itu katanya, beliau yakin sasaran yang ditetapkan di bawah kerangka Ekonomi Madani mampu dicapai berdasarkan perkembangan memberangsangkan yang direkodkan setakat ini.

“Peningkatan itu membuktikan wanita terus menjadi rakan strategik dalam pembangunan negara serta penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, dalam menghadapi cabaran dunia hari ini kerajaan komi­ted untuk menjaga kebajikan rakyat dan memacu ekonomi memerlukan sokongan padu seluruh lapisan masyarakat.

“Di sinilah saya melihat Puspanita memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam melahirkan masyarakat yang bertunjangkan nilai insaniah yang menyeluruh dan berdaya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Azri menegaskan, konsep Madani bukan bersifat politik sebaliknya adalah nilai kemanusiaan yang perlu ada dalam setiap rakyat demi membina bangsa, negara dan untuk memastikan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

“Madani adalah nilai yang perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia bermula dengan kemampanan, kesejahteraan, da­ya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Nilai Madani bukanlah retorik politik. Itu yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, beliau mahu Puspanita berterusan memainkan peranan dalam menyantuni ahli dan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program kebajikan serta pembangunan komuniti.

“Teruskan usaha baik de­ngan jalinan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak yang sesuai untuk memastikan keberkesanannya dipertingkat serta lebih ramai dapat dibantu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×