TUDM terima tiga ANKA-S perkasa pengawasan Laut China Selatan

TUDM terima tiga ANKA-S perkasa pengawasan Laut China Selatan

Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Halil Gul mewakili Turkish Aerospace Industries (TAI) menyerahkan momento kepada Muhamad Norazlan Aris, selepas Majlis Peluncuran Aset UAS MALE ANKA-S di Pangkalan Udara Labuan, kelmarin. – IHSAN MINDEF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima tiga unit Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE) ANKA-S bernilai RM423.8 juta yang bakal memperkukuhkan keupayaan pengawasan maritim negara, khususnya di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan aset buatan Turkiye itu merupakan satu lonjakan strategik dalam usaha memperkasakan pertahanan, keselamatan dan kedaulatan negara.

Katanya, ketiga-tiga ANKA-S berkenaan diperoleh bersama stesen kawalan darat serta program latihan kepada anggota selama dua tahun bagi memastikan aset itu dapat dioperasikan secara optimum.

“Perolehan ANKA-S dan pemulaan operasinya akan meningkatkan lagi usaha kita dalam menjaga pertahanan, keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Aset UAS MALE ANKA-S di Pangkalan Udara Labuan, kelmarin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Mohamed Khaled menambah, ANKA-S mampu terbang melebihi 24 jam pada ketinggian operasi sehingga 30,000 kaki bagi melaksanakan pengawasan berterusan.

Katanya, aset yang berpangkalan di Labuan itu akan digunakan bagi memantau perairan Laut China Selatan termasuk kawasan tuntutan bertindih selain mengesan aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan penangkapan ikan secara haram.

Menurutnya, antara kelebihan ANKA-S adalah keupayaannya mengecam dan menjejak profil kapal dengan tepat dan membolehkannya digerakkan secara lebih berkesan dan bersasar.

Katanya, maklumat yang diperoleh daripada sistem itu membolehkan pihak operasi mengenal pasti ancaman sebenar sebelum keputusan mengatur gerak pesawat atau kapal dibuat.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan operasi, malah mengurangkan kos kerana setiap jam penerbangan UAV jauh lebih rendah berbanding penggunaan pesawat pejuang atau kapal peronda maritim bersaiz besar.

“Jika kapal yang dikesan tidak menimbulkan ancaman, tiada keperluan untuk menggerakkan aset lain,” katanya.

Mengulas pemilihan Turkiye sebagai pembekal ANKA-S, Mohamed Khaled berkata, ia dibuat bagi memastikan Malaysia terus mengekalkan pendirian berkecuali selain memperoleh manfaat pemindahan teknologi dan kebebasan operasi.

Katanya, kerjasama dengan Turkiye turut membuka ruang kepada penyesuaian teknologi mengikut keperluan pertahanan negara tanpa sekatan politik tertentu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan perolehan tiga lagi ANKA-S pada fasa kedua bagi memperluaskan liputan pengawasan udara negara.

Jelasnya, ANKA-S mempunyai keupayaan membawa senjata namun Malaysia tidak melengkapkannya dengan senjata selaras doktrin pertahanan negara yang bersifat defensif.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN