PASIR PUTEH: Sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang mereka naiki tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta di Jalan Selising-Tok Bok, berhampiran simpang Kampung Sungai Durian di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, pasangan suami isteri yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Saari Yaacob berkata, siasatan awal mendapati semasa kemalangan pasangan berusia 69 dan 68 tahun itu sedang menunggang motosikal dari arah Selising menghala ke Tok Bok.
“Setiba di lokasi kejadian, pemandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai bertindak memasuki simpang di sebelah kanan sebelum memasuki laluan motosikal dinaiki mangsa.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Saari memberitahu, pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019-9386224,” ujarnya.-UTUSAN










