Sistem penanda arah lebih jelas kurangkan risiko pendaki sesat

Sistem penanda arah lebih jelas kurangkan risiko pendaki sesat

PRESIDEN Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penambahan penanda arah yang jelas dan berterusan sepanjang laluan di­lmampu mengurangkan risiko insiden pendaki sesat.

Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad berkata, cada­ngan penambahbaikan keselamatan perlu memberi tumpuan kepada pengurusan laluan dengan memperkemaskan sistem penandaan arah di sepanjang trek.

Katanya, kebanyakan kawasan rekreasi yang melibatkan aktiviti pendakian di negara ini masih kekurangan penanda arah yang jelas, menyebabkan pendaki bergantung kepada laluan yang tidak jelas sekali gus meningkatkan risiko tersesat.

“Jika dilihat kebanyakan gunung atau bukit yang ada, ia tidak mempunyai penanda arah yang jelas, apa yang ada ha­nyalah sekadar papan tanda makluman seperti ‘selamat datang’.

“Penanda arah yang jelas amat penting kerana ia membantu pendaki mengenal pasti laluan sebenar, mengelakkan kesilapan arah.

“Ketiadaan penanda arah yang jelas ini juga berisiko melambatkan operasi menyelamat serta menambah kos kecemasan kepada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat gunung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Muzafar, sistem pe­nandaan jelas turut berpotensi meningkatkan keselamatan, keyakinan pendaki serta menjadikan laluan gunung lebih mesra pelancong dan mudah diuruskan secara sistematik.

Katanya, jika cadangan penambahbaikan penanda arah yang jelas dilaksanakan, ia bukan sahaja mampu menarik minat lebih ramai pendaki tempatan, malah turut berpotensi menarik pendaki dari luar negara.

“Sekali gus, ia boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berteraskan gaya hidup sihat, di mana pelancong yang datang dapat menikmati pengalaman mendaki yang le­bih selamat, tersusun dan mesra rekreasi,” katanya.

Mengulas cadangan pengenalan lesen pendakian untuk menentukan kelayakan berdasarkan ketinggian dan risiko gunung, Muzaffar berkata ia dianggap membebankan serta menjejaskan konsep rekreasi terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, ini kerana, syarat tambahan seperti lesen boleh mengurangkan penyertaan pendaki rekreasi dan dianggap tidak selari dengan prinsip aktiviti kesihatan terbuka kepada umum.

“Sebagai alternatif, pasport gunung dicadangkan bagi merekodkan kemahiran, pengalaman serta rekod kesihatan pendaki tanpa menyekat kebebasan aktiviti rekreasi mereka.

“Namun, keutamaan perlu diberikan kepada pengurusan laluan, penambahbaikan pe­nanda arah serta kerjasama komuniti bagi meningkatkan keselamatan pendakian di seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 52 kes pendaki sesat direkodkan di seluruh negara dengan membabitkan 114 pendaki.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, kes ini meningkat hampir 30 peratus berbanding 40 kes membabitkan 88 mangsa dalam tempoh sama tahun lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN