SUNGAI PETANI: Pembubaran Parlimen tidak akan ditangguhkan semata-mata untuk mempertahankan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Anwar berkata, keutamaan beliau ketika ini adalah kepada usaha dan langkah untuk memulihkan ekonomi negara di samping menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya mahu fokus selesaikan masalah rakyat dahulu. Politik mesti stabil, saya tidak mahu politik hanya untuk propaganda atau jaga kedudukan.
“Saya bukan tangguh pilihan raya kerana mahu kekal berkuasa tetapi kerana mahu memastikan ekonomi negara terus berkembang dan rakyat mendapat manfaat,” katanya ketika berucap semasa Pertemuan Bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) negeri Kedah di sini semalam.
Perdana Menteri berkata, ketidaktentuan politik dan pilihan raya yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur serta mengganggu usaha kerajaan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negara ini.
“Pengurusan ekonomi sangat penting dan politik perlu stabil. Jika setiap bulan diadakan pilihan raya dan keadaan politik tidak menentu, siapa yang mahu datang melabur.
“Cuba lihat negara jiran dan kekuatan mata wang mereka. Hari ini ramai yang pergi ke Indonesia dan negara lain serta dapat melihat nilai ringgit yang semakin kukuh berbanding sebelum ini,” katanya lagi.
Anwar berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan berteknologi tinggi serta meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengabai keperluan asas rakyat.
Tambah beliau, pengukuhan nilai ringgit ketika ini juga membuktikan kedudukan ekonomi negara semakin stabil hasil pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih tersusun dan berkesan.
Menurut Anwar, negara berkemampuan untuk menangani pelbagai cabaran termasuk menstabilkan mata wang, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan asing jika kestabilan politik dapat dikekalkan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan juga sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan semua kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang kerana pembangunan rakyat perlu diberi keutamaan.
“Walaupun saya tiada kuasa mutlak dalam pentadbiran negara, saya mahu guna amanah yang diberikan untuk bantu rakyat dan memperkukuh ekonomi negara.
“Allah sudah uji saya dengan pelbagai dugaan termasuk keluar masuk penjara. Sebab itu saya tidak mahu guna kuasa untuk memperkaya anak, isteri atau keluarga,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap semasa Majlis Serahan Geran Tahunan Kerajaan kepada Universiti AIMST di Bedong, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan politik kebencian dan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan negara termasuk dalam konteks politik di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, perjuangan sebenar dalam demokrasi bukanlah mengenai siapa yang menang atau kalah dalam persaingan politik sebaliknya memastikan nilai keadilan dan kesaksamaan terus dipertahankan.
Menurutnya, tokoh pemikir dan negarawan India, B. R. Ambedkar sering menekankan bahawa tuntutan utama dalam sesebuah masyarakat demokratik adalah keadilan dan kesaksamaan.
“Sekarang ini orang bercakap soal demokrasi bertarung di Johor, Negeri Sembilan. Siapa menang, siapa rebut kuasa, siapa kuat memaki hamun, siapa main api perkauman, siapa menanam kebencian, siapa yang kata kononnya darjat kami majoriti atau kami kaum minoriti
“Tetapi Ambedkar berpesan bahawa perkara yang harus dituntut ialah keadilan dan kesaksamaan kerana melihat bukan sahaja daripada segi mata tetapi mata hati atau istilahnya the dictates of the heart,” katanya lagi.
Dalam program yang sama, Perdana Menteri turut menegaskan, masa depan negara tidak boleh ditentukan oleh sentimen perkauman, kebencian agama atau penyalahgunaan kuasa, sebaliknya dibina berasaskan keadilan, pendidikan berkualiti dan perpaduan nasional.
Anwar berkata, akses saksama kepada pendidikan berkualiti perlu menjadi keutamaan negara bagi memastikan setiap rakyat mempunyai peluang adil untuk berjaya tanpa mengira latar belakang keluarga, kaum atau lokasi tempat tinggal.
Menurutnya, konsep keadilan bukan sekadar memberikan peluang yang sama kepada semua pihak tetapi memastikan mereka yang datang daripada keluarga miskin dan serba kekurangan turut diberikan ruang serta sokongan yang diperlukan untuk bersaing.-UTUSAN










