KUALA KANGSAR: Sokongan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuka peluang untuknya bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang mengisytiharkan sokongan tersebut pada Oktober 2023, kini dilihat mencari alternatif lain setelah dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ekoran tindakannya menyokong Anwar.
Beliau juga tidak menolak sebarang bentuk kerjasama dengan harapan dapat bertanding semula menerusi mereka yang berkongsi objektif sama.
“Tentunya saya berharap dapat meneruskan perkhidmatan dalam penggal akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Pilihan Raya Umum 2022, dominasi UMNO sekian lama di Parlimen Kuala Kangsar buat pertama kali berjaya dipecahkan oleh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Iskandar.
Beliau menang dengan 14,380 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN) (10,814), Pakatan Harapan (10,356) dan Pejuang (204).
Setahun selepas kemenangan tersebut, Iskandar menyatakan sokongan kepada Anwar dan langkah itu membuahkan hasil apabila beliau menerima peruntukan Parlimen daripada kerajaan.
Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Hairul Amir Sabri berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang arahan atasan mengenai kedudukan Iskandar.-UTUSAN.










