KOTA BHARU: Mesyuarat Pas Pusat pada Isnin ini menjadi penentu sama ada parti itu akan memberi sokongan atau tidak kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ia selepas Pas secara rasmi memutuskan hubungan dengan Bersatu walaupun kedua-dua parti itu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini pihaknya mendokong teguh kenyataan yang telah dikeluarkan oleh presiden parti sebelum ini.
“Tengoklah apa hasil mesyuarat itu nanti. Mesyuarat yang dijadual berlangsung sekitar pukul 5 petang itu akan turut membincangkan keseluruhan isu berkaitan PRN Johor.
“Ia termasuk soal kerjasama politik melibatkan Pas dan parti-parti dalam gabungan PN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu di sini malam tadi.
Perasmian mesyuarat itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jerantut Khiril Nizam Khirudin.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, Pas masih belum memutuskan pendirian ahli parti berhubung sokongan di kerusi yang tidak ditandingi mereka.
Katanya, ia termasuk kerusi melibatkan Bersatu, Gerakan serta pertandingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Kerusi yang kita (Pas) bertanding, sudah tentu ahli akan sokong PAS. Tetapi kerusi parti komponen lain seperti Bersatu dan Gerakan, kita nak sokong siapa.
“Kemudian kerusi yang PH lawan BN, ahli kita nak sokong siapa, belum diputuskan lagi. Hari Isnin ini kita bincang,” ujarnya.
Pada PRN kali ini, PN meletakkan calon di 33 kerusi menerusi gabungannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di 16 kerusi, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di lima kerusi dan Pejuang (satu kerusi) manakala bakinya ditandingi Pas.
Pembentukan Kerajaan Negeri Johor memerlukan mana-mana parti atau gabungan politik memperoleh majoriti mudah sebanyak 29 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.-UTUSAN










