PASIR SALAK: Sebanyak 30 pokok durian dipercayai berusia lebih 100 tahun di sebuah dusun di Kampung Gajah di sini masih mengeluarkan hasil buah yang lebat.
Pemilik dusun berkenaan, Mohd. Shahrul Naim Mohamad Razali, 37, berkata, kesemua pokok durian tua yang diwarisi daripada datuk dan moyangnya itu masih berbuah pada musim ini yang kini memasuki minggu ketiga.
Menurutnya, sebahagian besar pokok tersebut mempunyai lilitan batang sebesar tiga pemeluk orang dewasa dengan ketinggian mencecah kira-kira 30 meter.
“Walaupun usia pokok durian ini dipercayai melebihi 100 tahun, semuanya masih mengeluarkan hasil yang lebat.
“Saya memiliki kira-kira 30 pokok durian tua dan percaya ada antaranya mungkin berusia sehingga 200 tahun. Saya juga percaya pokok-pokok ini antara yang tertua di Kampung Gajah.
“Sejak dahulu lagi Kampung Gajah terkenal sebagai kawasan pengeluaran durian kampung jadi tidak mustahil pokok di dusun ini merupakan antara yang tertua di kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Shahrul Naim berkata, walaupun pelbagai varieti durian moden berada di pasaran, durian kampung masih menjadi pilihan penggemar raja buah itu.
Katanya, durian kampung dijual pada harga antara RM8 hingga RM10 sekilogram bergantung pada kualiti buah.
“Durian kampung di sini mempunyai pelanggan tetap. Saya menjualnya di tepi jalan masuk ke Kompleks Sejarah Pasir Salak. Harga RM8 hingga RM10 sekilogram ketika ini dianggap murah berikutan lambakan durian.
“Durian kampung tetap mendapat sambutan kerana rasanya yang lemak manis. Durian daripada pokok tua pula mempunyai peminat tersendiri kerana isinya putih dan lebih puas dimakan.
“Biasanya saya mula berniaga pada pukul 9 pagi sehingga habis dijual. Dalam sehari, saya mampu menjual kira-kira 500 kilogram durian,” katanya.
Katanya, dusun seluas 15 ekar itu diusahakan sejak kira-kira 20 tahun lalu dan pokok-pokok durian tua tersebut tidak memerlukan penjagaan rapi seperti pembajaan.
Katanya, dia hanya menabur garam kasar di sekeliling pangkal pokok kerana dipercayai dapat menguatkan akar sekali gus membantu pokok terus hidup dalam tempoh yang lama.
“Sebelum ini terdapat lebih 100 pokok durian tua di dusun ini namun banyak yang mati selepas terendam banjir besar pada 2014. Dusun ini ditenggelami air selama lebih dua bulan menyebabkan sebahagian besar pokok durian tidak dapat diselamatkan,” katanya.-UTUSAN.











