GUA MUSANG: Taktik sebuah kilang kayu haram yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sejak sebulan lalu di Kampung Sungai Bayu di sini terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Serbuan pukul 4 petang itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Perhutanan Jajahan Machang hasil maklumat risikan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa serbuan dijalankan, pihaknya menahan sebuah lori yang membawa muatan kayu keluar dari dari kawasan tersebut.
Katanya, beberapa pekerja sedang dilihat memproses kayu menggunakan jentera dan mesin di premis tersebut semasa serbuan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik kilang gagal mengemukakan lesen kebenaran pengoperasian daripada Jabatan Perhutanan dan premis itu dipercayai beroperasi secara haram.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan sejumlah kayu dipercayai tidak bercukai selain mesin dan jentera yang digunakan untuk memproses kayu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, lima individu termasuk seorang wanita yang mengaku sebagai pemilik kilang berusia 47 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, pelbagai jenis kayu, perlatan dan jentera yang dianggarkan berjumlah RM1.69 juta turut dirampas dalam serbuan tersebut.
“Siasatan awal mendapati kilang tersebut dipercayai mendapatkan bekalan kayu hutan tidak bercukai daripada penduduk setempat sebelum diproses untuk dijual,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.-UTUSAN










