PGA rampas arak seludup dari Thailand

PGA rampas arak seludup dari Thailand

SEBAHAGIAN daripada arak yang dirampas selepas PGA menahan dua lelaki di SJR Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis arak yang diseludup dari Thailand bernilai RM103,500 selepas menahan sebuah trak pikap semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Cabang Empat Salam di sini awal pagi tadi.

Dalam pemeriksaan pukul 6.30 pagi itu, PGA turut menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung rampasan tersebut.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas trak pikap itu membawa kepada penemuan sejumlah minuman keras.

Katanya, soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek mengaku membeli bekalan arak berkenaan di Thailand sebelum membawa masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Kedap.

“Suspek mendakwa bekalan tersebut adalah untuk kegunaan majlis perkahwinan yang akan berlangsung minggu depan di Kampung Chabang Empat, Wakaf Bharu, Tumpat dan bukan untuk tujuan jualan.

“Harga arak yang jauh lebih murah di Thailand menjadi faktor utama mereka mendapatkan bekalan itu melalui laluan tidak sah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, kedua-dua suspek yang ditahan itu masing-masing berusia 33 dan 23 tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan semua tangkapan serta barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN