PETALING JAYA: Pengeluar dan pengedar kenderaan perlu bertanggungjawab memastikan setiap pelanggan benar-benar memahami fungsi sistem keselamatan dan teknologi moden yang terdapat pada kereta baharu.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Sukan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, ramai pemilik kenderaan hari ini membeli kereta yang dilengkapi pelbagai teknologi canggih, namun tidak diberikan penerangan menyeluruh mengenai cara penggunaan serta had fungsi sistem berkenaan.
Menurutnya, situasi itu menimbulkan risiko kepada keselamatan jalan raya kerana sebahagian pengguna terlalu bergantung kepada teknologi bantuan pemandu tanpa memahami bahawa sistem tersebut hanya berfungsi sebagai bantuan dan bukannya pengganti kepada pemandu.
“Ramai pengguna tidak memahami sepenuhnya fungsi teknologi seperti Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), Automatic Emergency Braking (AEB), Lane Keep Assist, Blind Spot Monitoring dan Adaptive Cruise Control.
“Ada yang panik apabila lampu amaran menyala, manakala sebahagian lagi gagal bertindak dengan betul ketika berlaku kecemasan kerana tidak mengetahui fungsi sebenar sistem yang terdapat pada kenderaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, kebanyakan pelanggan hanya menerima buku panduan pengguna ketika proses penyerahan kenderaan tanpa penerangan praktikal yang mencukupi daripada pihak pengedar atau jurujual.
Katanya, proses penyerahan kenderaan ketika ini lebih tertumpu kepada urusan dokumentasi, pembayaran dan promosi jualan berbanding pendidikan keselamatan kepada pelanggan.
“Tidak wajar pelanggan dibenarkan membawa pulang kenderaan bernilai puluhan atau ratusan ribu ringgit selepas hanya menerima penerangan ringkas sekitar 10 hingga 20 minit tanpa memahami sepenuhnya sistem keselamatan yang dipasang pada kenderaan tersebut.
“Justeru, pengeluar dan pengedar perlu memastikan pelanggan diberikan penerangan serta demonstrasi praktikal mengenai fungsi dan had penggunaan ADAS, maksud lampu amaran pada kluster meter, penggunaan lampu kecemasan, prosedur penukaran tayar serta lokasi peralatan kecemasan dalam kenderaan.
“Selain itu, pelanggan juga perlu didedahkan mengenai penggunaan Electronic Parking Brake (EPB), Auto Hold, sistem ABS, Electronic Stability Control (ESC), Traction Control dan Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) yang kini menjadi antara ciri standard pada kebanyakan kenderaan moden,” katanya,
Beliau berkata, aspek pengendalian kecemasan seperti kegagalan brek, tayar pecah, enjin terlalu panas, bateri lemah serta penggunaan gear yang betul ketika menuruni bukit juga perlu diterangkan secara menyeluruh kepada pengguna.
Menurutnya, penggunaan sistem infotainmen moden sememangnya memberi pelbagai manfaat kepada pemandu dari segi navigasi, komunikasi dan hiburan namun ia juga berpotensi menjadi gangguan jika digunakan secara berlebihan ketika memandu.
Jelasnya, penggunaan telefon bimbit, media sosial, rakaman video dan aplikasi komunikasi ketika memandu masih menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
“Teknologi sepatutnya membantu meningkatkan keselamatan, bukannya menjadi punca gangguan kepada pemandu.
“Walau secanggih mana sistem yang dipasang pada kenderaan, faktor manusia masih memainkan peranan paling penting dalam menentukan tahap keselamatan di jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong cadangan supaya kamera dan sistem rakaman audio dipasang dalam kenderaan bagi membantu siasatan kemalangan serta mengenal pasti tingkah laku pemandu sebelum sesuatu insiden berlaku.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan teknologi tersebut perlu disertakan dengan garis panduan yang jelas melibatkan aspek privasi, penggunaan data, tempoh penyimpanan rakaman dan kawalan akses bagi mengelakkan penyalahgunaan.
“PPKJR mencadangkan kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memperkenalkan modul keselamatan standard yang wajib diberikan kepada setiap pembeli kenderaan baharu.
“Pengedar juga disaran menyediakan sesi taklimat keselamatan, demonstrasi praktikal, video pendidikan keselamatan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta pensijilan pengesahan bahawa pelanggan telah memahami fungsi asas dan sistem keselamatan kenderaan masing-masing,” katanya. – UTUSAN










