JEMPOL: Pas Negeri Sembilan akan mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd. Fairuz Mohd. Isa berkata, bagaimanapun pemilihan calon masih dalam peringkat perbincangan parti.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memastikan kerusi yang dimiliki dapat terus dipertahankan oleh parti tersebut.
“Kerusi yang ada mesti dipertahankan. Cuma sama ada calon yang bertanding nanti orang yang sama atau orang lain, itu bergantung kepada keputusan di peringkat kawasan, negeri dan Pusat.
“Setiap kawasan akan mengemukakan beberapa nama calon untuk dipertimbangkan sebelum dibawa ke peringkat negeri dan seterusnya ke Pusat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Pas berjaya meraih kemenangan di tiga kerusi DUN iaitu Serting, Bagan Pinang dan Paroi daripada keseluruhan 13 kerusi yang ditandingi parti itu.
Mohd. Fairuz dalam pada itu berkata, proses pemilihan calon Pas juga melibatkan saringan dan penelitian menyeluruh bagi memastikan individu yang dipilih mempunyai potensi terbaik untuk memenangi kerusi berkenaan.
Katanya, cadangan calon daripada kawasan akan dibawa ke peringkat perhubungan negeri sebelum dikemukakan kepada Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk pertimbangan lanjut.
“Calon yang dipilih nanti mestilah calon yang layak serta mempunyai peluang terbaik untuk membawa kemenangan kepada parti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu mesyuarat khas melibatkan kepimpinan Pas akan diadakan hari ini bagi membincangkan mengenai PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Selepas keputusan di peringkat Pusat dimuktamadkan, barulah ia akan diselaraskan di peringkat negeri sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.-UTUSAN.










