Pas kekal berpegang kepada taawun siyasi dalam PN

Pas kekal berpegang kepada taawun siyasi dalam PN

AHMAD YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas kekal menggunakan pendekatan taawun siyasi yang menjadi asas pen­ting dalam merangka kerjasama politik Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, pendekatan tersebut berteraskan prinsip kerjasama untuk kebajikan dan ketakwaan sebagaimana di­gariskan dalam Surah Al-Maidah ayat kedua.

Menurut beliau, taawun siyasi merupakan kerjasama politik yang lebih longgar dan terbuka dengan menerima pelbagai parti serta entiti yang mempu­nyai asas perjuangan sama tanpa bersikap ekstrem.

“Petikan ayat al-Quran itu menjadi asas kukuh kepada pendekatan politik taawun siyasi.

“Ia adalah suatu bentuk kerjasama dan gabungan politik yang lebih bersifat longgar serta berdiri atas prinsip menerima pelbagai parti dan entiti yang mempunyai asas perjuangan yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, DUPP berpandangan kerjasama politik yang dibentuk perlu bergerak dalam kerangka amar makruf dan nahi mungkar selain meletakkan kepimpinan Melayu-Islam sebagai teras dalam negara.

Menurutnya, pendekatan itu berbeza dengan tahaluf siyasi yang pernah digunakan Pas sebelum ini kerana tahaluf lebih bersifat permuafakatan mendalam serta melibatkan jaringan kerjasama rasmi antara parti-parti terlibat.

“Berbeza dengan pendekatan tahaluf, kerjasama taawun siyasi bersifat umum, tidak ter­ikat dan tidak meletakkan syarat yang ketat dalam kerjasama yang dibentuk,” katanya.

Mengulas politik semasa, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kajian semula hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dilihat daripada sudut positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN