SHAH ALAM: Pertemuan antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan keluarga akan diadakan bagi menyelesaikan kemelut jenazah tertangguh pengebumian.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, beliau mengarahkan pertemuan itu diadakan bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik dengan semua pihak yang terlibat.
Katanya, pertemuan tersebut juga akan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang menguruskan jenazah kanak-kanak perempuan itu.
“Seterusnya, MAIS juga mengambil maklum bahawa pihak pengurusan Masjid Nurul Hidayah, waris yang terlibat dan BKS sudah membuat laporan polis berhubung insiden ini. Justeru, MAIS menasihatkan semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis membuat siasatan yang telus dan adil berhubung kes ini.
“MAIS memberi jaminan semua dapatan hasil siasatan polis, sama ada dari aspek jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi antara pihak terlibat akan diambil tindakan sewajarnya. Hal ini adalah untuk memastikan insiden yang sama tidak berulang di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan jenazah seorang kanak-kanak perempuan didakwa terpaksa dibiarkan dalam liang lahad tanpa dikebumikan selama sejam 20 minit selepas pengurusan sebuah masjid di Kampung Pandan, Ampang dikatakan menuntut bayaran sebanyak RM1,400.
Situasi tersebut dikatakan berpunca daripada pihak pengurusan masjid berkenaan menahan permit mengubur yang sudah pun diterima oleh ahli keluarga selepas mereka menolak untuk membayar wang tersebut sebagai upah menguruskan.
Bagaimanapun, JAIS kemudian dilapor menjelaskan urusan pengebumian jenazah itu didakwa tertangguh susulan ia dibawa ke sana oleh waris tanpa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian.
Pengarah JAIS Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya juga menafikan pengurusan Masjid Nurul Hidayah menuntut bayaran sebanyak RM1,400 daripada waris bagi menguruskan jenazah.
Namun, semalam keluarga pula dilapor menafikan dakwaan mereka memalsukan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.
Bapa jenazah itu, Muhammad Hasrul Ghazali, 41, menafikan kenyataan JAIS yang kononnya mahu Masjid Nurul Hidayah menguruskan jenazah anaknya, Allaharhamah Siti Adawiyah, 14, yang meninggal dunia akibat komplikasi usus bocor.
Dalam kenyataan sama, Salehuddin memaklumkan pihaknya juga akan menilai pengurusan jenazah orang Islam oleh pihak pengurusan masjid dan mengenal pasti jika terdapat ruang penambahbaikan yang boleh diambil.
“Hal ini adalah untuk memastikan pengurusan jenazah orang Islam dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, teratur dan cekap serta memenuhi tuntutan hukum syarak,” ujarnya. – UTUSAN










