Larian Nakawan Ultra perkenal Banjaran Nakawan di mata dunia

Larian Nakawan Ultra perkenal Banjaran Nakawan di mata dunia

LARIAN Nakawan Ultra yang sudah memasuki edisi ketiga penganjuran banyak membantu mempromosi dan memperkenalkan Banjawan Nakawan di mata dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Larian Nakawan Ultra yang memasuki edisi ketiga penganjuran banyak membantu mempromosi dan memperkenalkan Banjawan Nakawan di mata dunia.

Penganjur Nakawan Ultra, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, tahun ini, acara larian itu akan berlangsung pada 12 Disember di Kompleks Eko Pelancongan Bukit Ayer.

Katanya, Nakawan Ultra yang mewarnai kalendar sukan pelancongan negara itu menawarkan pengalaman larian denai unik di Banjaran Nakawan iaitu banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia, terletak di sempadan Thailand.

Ujarnya, ia bukan sekadar perlumbaan ultra maraton, malah menjadi platform mempromosikan keindahan alam semula jadi, budaya dan produk pelancongan Perlis kepada peserta dari dalam dan luar negara.

“Laluan perlumbaan yang merentasi denai hutan, kawasan perkampungan tradisi, sawah padi dan bukit batu kapur bakal memberi cabaran fizikal serta mental menguji ketahanan setiap peserta.

“Bagi edisi 2026, peserta boleh memilih untuk menyertai kategori 50 kilometer (km), 30 km dan 10 km yang telah dibuka penyertaan kepada pelari pelbagai peringkat umur.

“Acara tersebut menarik penyertaan pelari tempatan dan antarabangsa yang ingin merasai sendiri keunikan Banjaran Nakawan serta panorama menakjubkan yang menjadi kebanggaan negeri Perlis.

“Kejayaan penganjuran edisi-edisi sebelum ini telah membuktikan bahawa Nakawan Ultra bukan sahaja menjadi acara sukan lasak yang dinanti-nantikan, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui peningkatan kehadiran pelancong, penggunaan kemudahan penginapan, restoran dan perkhidmatan komuniti tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ku Hasrin berkata, pihaknya juga mengalu-alukan penyertaan komuniti pelari, pencinta aktiviti luar serta pelancong untuk bersama-sama merasai pengalaman luar biasa di utara tanah air dan menjadikan Nakawan Ultra sebagai destinasi larian denai pilihan di Malaysia.

“Acara dianjurkan setiap dua tahun sekali itu juga mendapat pengiktirafan daripada majalah Time Out Asia sebagai laluan acara denai ketiga tercantik selepas Vietnam Trail Marathon di Vietnam & Angkor Ultra Trail di Kemboja peringkat Asia pada 7 April 2025 lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN